malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hakim: Sampul apa boleh muatkan wang S$600,000
ADS

Ketiadaan bukti tidak langsung adalah antara sebab Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan hari ini daripada semua 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Asing (VLN).

Dalam penghakimannya, hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Yazid Mustafa berkata, dia tidak dapat membayangkan bagaimana jutaan wang dimasukkan ke dalam sampul surat dan dihantar kepada Zahid.

Mohd Yazid berkata, dalam kes Rosmah Mansor, beg-beg digunakan untuk menghantar berjuta-juta wang tunai kepada isteri bekas perdana menteri itu, yang telah disabitkan bersalah dalam kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

"Ketiga-tiga saksi utama memberi keterangan bahawa semua wang tunai dimasukkan ke dalam sampul coklat pada setiap kali penghantaran. Pada mulanya, amaun bulanan ialah SGD200,000 tetapi kemudiannya dinaikkan kepada SGD300,000 dan akhirnya SGD520,000. Bagi bulan yang tertinggal, jumlah itu kemudian akan digandakan pada bulan-bulan berikutnya.

"Sebagai contoh, jika mereka tidak membayar pada Januari, amaun itu akan dibayar bersekali pada Februari. Sekali lagi, ia semua dimasukkan ke dalam sampul surat," katanya.

"Berbanding kes Rosmah, penghantaran pertama RM5 juta dalam bentuk wang tunai pada 20 Dis 2016 dibahagikan kepada dua beg berisi RM2.5 juta setiap satu. Untuk penghantaran kali kedua berjumlah RM1.5 juta, wang itu dimasukkan ke dalam dua beg.

“Dalam kes Zahid, pihak pendakwaan tidak menunjukkan sebarang sampel sampul surat. Tiada bukti menunjukkan saiz sampul surat yang digunakan.

"Saya tidak boleh bayangkan saiz sampul apa yang boleh memuatkan wang tunai SGD600,000 yang bersamaan dengan sekitar RM1.6 juta pada masa itu," kata Yazid.

“Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dikemukakan di mahkamah, pemandu tidak dipanggil, pengawal tidak dipanggil, anggota polis tidak dipanggil, slip transaksi Touch and Go tidak dikemukakan, log panggilan telefon dan mesej dengan Zahid juga tidak dikeluarkan," katanya.

Dalam kes Rosmah, dia berkata saksi yang dipanggil oleh pihak pendakwaan termasuk individu yang mengambil wang dan kakitangan bank, manakala cek bank turut dikemukakan sebagai bukti.

"Bukti tidak langsung seperti yang diketengahkan dalam kes Rosmah semuanya tiada dalam kes ini. Begitu juga, ada gambar diambil dan pelan lakaran dalam kes Rosmah tetapi tidak dalam kes ini," katanya.

Hakim berkata Nicole, seorang warga China yang bekerja dengan subkontraktor di Hong Kong, memainkan peranan penting untuk menjelaskan peranannya dalam menyediakan sebahagian besar dana daripada RM238 juta seperti yang dinyatakan dalam lejar.

"Dalam kes Zahid, saksi yang terlibat atau mempunyai pengetahuan mengenai sumber dana iaitu Nicole Tan, dua pengurup wang telah disoal siasat dan keterangan mereka direkodkan tetapi tidak dipanggil sebagai saksi untuk menyokong kes pendakwaan.

"Selain Nicole, berdasarkan bahagian deposit dalam lejar, wang telah diterima daripada 15 pihak lain tetapi ia tidak pernah dijelaskan atau diterangkan oleh mana-mana saksi pendakwaan mengenai siapa 15 pihak ini dan bagaimana mereka terlibat dalam perkara itu," katanya.

Hakim kemudian membuat kesimpulan bahawa tiga saksi utama itu tidak boleh dipercayai.

"Anehnya, bekas pengurus pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), David Tan Siong Sun, yang merupakan pencipta lejar itu, mengakui semasa pemeriksaan balas bahawa penyerahan kedua wang tunai RM3 juta melalui bagasi adalah satu perkara yang difikirkan semula (afterthought)," katanya.

"Pengakuan selepas memikirkan semula oleh saksi utama pendakwaan ini adalah lebih daripada mencukupi untuk saya mendapati bahawa dia tidak mempunyai kredibiliti," katanya.

Tan memberi keterangan bahawa dia menghantar wang kepada Zahid sebanyak dua kali manakala rakannya dan bekas pengarah Harry Lee membuat 40 kiriman, manakala seorang lagi pengarah syarikat, Wan Quoris Shah membuat beberapa kiriman lain.

“Saksi ini di satu sisi memberi keterangan akan merekodkan pembayaran pada hari yang sama atau keesokan hari pembayaran, namun apa yang ditunjukkan kebanyakan ruangan ‘remark’ dalam lejar dibiarkan kosong,” tambah Yazid.

"Seorang lagi saksi, Lee juga bersetuju bahawa ruangan 'remark' kosong tidak menunjukkan wang telah dibayar kepada tertuduh."

"Ruangan 'remark' yang kosong itu menimbulkan kemungkinan seperti kesimpulan yang dicadangkan oleh pihak pembelaan bahawa wang itu mungkin diagihkan di kalangan tiga saksi utama kerana mereka mempamerkan gaya hidup mewah."

"Setiap mereka mempunyai satu unit hartanah di Pavilion, Wan Quoris juga memiliki sebuah rumah banglo di Putrajaya dan sebuah rumah berkembar di Cyberjaya, dua Range Rover, motosikal mewah dan bayaran cukai berjuta-juta."

"Tanpa sokongan bukti yang kukuh, saya tidak boleh secara sedar menyimpulkan bahawa wang itu sebenarnya diterima oleh Zahid seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan berdasarkan transaksi yang dicatatkan dalam buku lejar tanpa rekod bahawa wang itu benar-benar diterima oleh tertuduh dalam ruangan ‘remark'," katanya.

"Saya dapati keterangan saksi utama pendakwaan - Tan, Lee dan Wan Quoris - tidak boleh dipercayai dan tidak mempunyai kredibiliti.

"Oleh itu, saya mendapati bahawa tiada penekanan perlu diberikan kepada lejar berkenaan," kata Yazid.

Bekas timbalan perdana menteri itu didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah daripada UKSB berjumlah SG$13.56 juta (RM43.6 juta) antara 2014 dan 2017.

Zahid juga menghadapi tujuh pertuduhan memperoleh SG$1.15 juta, RM3.125 juta, 15,000 Swiss franc (RM70,000) dan AS$15,000 (RM68,000) daripada syarikat yang sama.

Zahid didakwa menerima rasuah untuk menyambung kontrak UKSB bagi mengendalikan perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta menyambung kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Lihat Komen