malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nenek maut dipijak gajah liar di Tawau
ADS

Seorang wanita warga emas maut dipercayai akibat dipijak seekor gajah liar yang mengamuk berhampiran kawasan Dumpas, Jalan Merota-Kalabakan dekat Tawau pagi tadi.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 7.30 pagi sewaktu mangsa Samsiah Arshad, 67, dalam perjalanan bersama suami Tahir Salleh, 60-an menaiki motosikal dari Kampung Hidayat Batu 4 di Tawau menuju ke Kongsi 4 Ladang Kelapa Sawit Cenderamata untuk melawat cucu mereka.

Dalam kejadian itu suami mangsa selamat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar Tawau, Primus Lambut berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes gajah liar mengamuk di kawasan Dumpas.

"Gajah ini bukan gajah betina bunting yang sebelum ini pernah dilaporkan sesat memasuki kawasan pekan Merotai kerana gajah itu sudah dihalau ke hutan...gajah ini lain, ia tidak memakai kolar," katanya lagi.

- Bernama

Lihat Komen