malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AMK Pahang mahu tahu status 194 projek hadapi banjir
ADS

Pemuda PKR (AMK) Pahang mendesak kerajaan negeri mendedahkan perkembangan terkini mengenai 194 projek mengurangkan risiko banjir di negeri itu selepas dia diumumkan pada Mac lalu.

Ketua AMK Pahang, Chan Chung Kuang, berkata penduduk Pahang terutamanya di kawasan mudah dinaiki air sedang berdepan kebimbangan berikutan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 1 Sept lalu mengenai kemungkinan berlaku banjir besar penghujung Nov ini.

"Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail, ketika menghadiri sidangan dewan undangan negeri pada 31 Mac mengumumkan pelan jangka pendek bagi mengatasi dan mengurangkan risiko banjir di Pahang.

"Pelan itu meliputi 158 projek pemulihan sungai dan 36 lagi membabitkan kerja naik taraf kolam takungan banjir dengan peruntukan RM20.36 juta.

"Sekarang sudah bulan Sept, jika semua projek ini tidak disiapkan dalam tempoh dua bulan lagi - dan kalau betul ramalan dibuat MetMalaysia itu - sudah tentu rakyat Pahang akan terus jadi mangsa banjir," katanya ketika dihubungi di Kuantan, Pahang, hari ini.

Chan berkata, kerajaan negeri sepatutnya memberi akses kepada rakyat untuk mengetahui peratusan projek yang sudah dilaksanakan sebagai rujukan.

Katanya lagi, alasan taburan hujan meningkat mendadak sebagai punca banjir buruk tahun lalu tidak boleh lagi digunakan kerajaan negeri pada musim tengkujuh kali ini.

Hal itu kerana, menurut Chan, kerajaan negeri seharusnya sudah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengatasi kesan berulang di kawasan sering dilanda banjir.

"Apa yang dikesalkan ialah dalam keadaan sekarang pun, masih ada parti tertentu secara berterusan mendesak supaya pilihan raya umum (PRU) diadakan segera.

"Jadi, apakah nilai rakyat pada pandangan mereka?

"Sikap segelintir ahli politik seperti ini sangat mengecewakan dan menunjukkan mereka lebih mementingkan kuasa berbanding keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya lagi.

Dia turut memberitahu, AMK Pahang dan Angkatan Muda Pakatan Harapan (PH) Pahang sudah melakukan persediaan untuk digerakkan jika banjir melanda negeri itu.

Pada masa sama, kata Chan, jentera parti juga bersedia jika parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

Justeru, tidak timbul dakwaan kononnya PH takut kalah jika PRU ke-15 diadakan sekarang, tapi paling penting buat masa ini ialah kesesuaian untuk mengadakan pilihan raya dalam keadaan musim banjir semakin hampir.

"Kita masih belum lupa kesusahan mangsa banjir di Taman Mentakab Indah, Temerloh yang rumahnya ditenggelami air dan kemudian terputus pula bekalan air hampir seminggu selepas banjir surut hingga menyukarkan kerja membersihkan rumah mereka.

"Begitu juga di perkampungan Cenderawasih dekat Kuantan, air bertakung tiga hingga empat hari walaupun ketika itu hujan sudah berhenti, banyak harta benda rosak dan keadaan seperti ini kalau boleh tidak berlaku lagi," katanya.

Lihat Komen