malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Aktivis Bersih mohon batal undang-undang menjenayahkan hantaran jelik
ADS

Seorang bekas timbalan pengerusi Bersih mencabar peruntukan undang-undang yang menjenayahkan hantaran dalam talian yang bersifat jelik dan menyinggung perasaan.

Mahkamah Tinggi Taiping semalam menetapkan 17 Okt untuk memutuskan permohonan Sarajun Hoda Abdul Hassan bagi merujuk isu perlembagaan di mahkamah persekutuan berhubung Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Aktivis Bersih itu memohon untuk membatalkan Seksyen 233(1)(a) dan 233(3) akta itu kerana didakwa melanggar beberapa hak asasi yang ditetapkan di bawah beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 5 Perlembagaan berkaitan kebebasan diri, Perkara 8 berkaitan kesamarataan dan Perkara 10 berkaitan hak kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Mahkamah Sesyen sebelum ini menolak permohonan Sarajun agar Mahkamah Tinggi meneliti isu perlembagaan membabitkan akta tersebut.

Sarajun Hoda dibicarakan pada 3 Ogos lepas di mahkamah Sesyen Taiping atas pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) berhubung dakwaan menyiarkan komen menghina di media sosial. Kes tersebut masih berlangsung di mahkamah sesyen.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, peguam Sarajun Hoda Abraham Au mengesahkan bahawa pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh keputusan 17 Okt selepas mendengar hujahan daripada pasukan undang-undang bagi pihak pemohon dan pihak pendakwaan.

Peguam utama, Gurdial Singh Nijar mengemukakan hujahan lisan untuk pemohon, manakala timbalan pendakwa raya Sariza Ismail berhujah bagi pihak pendakwaan.

“Mahkamah Tinggi mendengar kes itu hari ini. Yang Arif Noor Ruwena kemudiannya menangguhkan keputusan pada 17 Okt 2022,” kata Au.

Mengikut kertas pertuduhan, Sarajun Hoda didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya berkaitan agama Islam di laman Facebooknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 26 April lepas antara pukul 9 pagi hingga 12.52 tengah hari yang telah dibaca pada 27 April lepas kira-kira pukul 9 pagi di No 15, Jalan Wawasan 8, Taman Wawasan Jaya di daerah Parit Buntar.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Tertuduh kini diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya kini ditahan oleh mahkamah. Dia juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Lihat Komen