malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kajian tahap kepuasan hati terhadap PM tak beri gambaran sebenar'
Diterbitkan:  Sep 22, 2022 11:56 AM
Dikemaskini: 2:17 PM
ADS

Setiausaha politik Ismail Sabri Yaakob menyangkal kajian yang mendapati tahap kepuasan hati terhadap perdana menteri itu adalah lebih rendah daripada pendahulunya, Muhyiddin Yassin.

Syed Fazmi Sayid Mohammad berkata, saiz sampel responden dalam kajian itu boleh dipertikaikan kerana tidak menggambarkan situasi sebenar keseluruhan rakyat negara ini.

“Kita ada 32 juta rakyat kalau setakat ambil 2,000 atau 3,000 rakyat saja tak menggambarkan keseluruhan situasi rakyat negara ini,” katanya seperti dilapor oleh FreeMalaysiaToday.

“Kalau nak ikut kajian, banyak kajian. Saya pun boleh buat kajian kadar kesenangan rakyat,”

Bekas setiausaha sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad baru-baru ini memetik tinjauan Merdeka Center di markah purata tahap keputuasan hati rakyat Malaysia terhadap Muhyiddin semasa menjadi perdana menteri adalah sekitar 67 peratus

Manakala Ismail setakat ini mendapat markah 45 peratus, yang merupakan markah yang gagal, kata Marzuki.

Sebelum ini Ismail mendakwa Muhyiddin – pengerusi Majlis Pemulihan Negara (NRC) dan pengerusi Perikatan Nasional, bersama-sama menteri daripada Bersatu, sama-sama bertanggungjawab atas kegagalan ekonomi negara.

Syed Fazmi hari ini berkata keadaan ekonomi negara bertambah baik sejak Ismail menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri pada Ogos 2021.

Selain pertumbuhan ekonomi negara, dia turut mendakwa kadar pengangguran menurun dan inflasi dapat dikawal sejak pintu sempadan dibuka untuk merancakkan pemulihan ekonomi selepas pandemik Covid-19.

“Kalau nak kata gagal, kita dah dapat tunjuk dengan fakta kerajaan kita sedang dalam proses ke arah pemulihan yang betul. Bagi saya tiada isu kita gagal atau sebagainya,” katanya.

‘Syed Fahmi tak faham ilmu statistik’

Sementara itu, Marzuki dalam hantaran di Facebook mempertahankan kajian dilakukan Merdeka Centre.

"Maafkan saya. Mungkin Syed Fazmi tidak begitu memahami ‘the logic of sampling’.

“Kalau beliau mendalami ilmu statistik dan kajian kuantitatif yang menggunakan kaedah persampelan, beliau akan lebih faham,” jelasnya.

Menurutnya, Syed Fazmi juga mengatakan Merdeka Centre membuat kesilapan ketika mengandaikan kemenangan BN pada PRU-14, justeru kaji selidik badan itu mengenai sentimen rakyat terhadap perdana menteri tidak boleh diguna pakai.

"Saya tidak fikir kajian itu silap. Mungkin tafsirannya sahaja yang agak terkhilaf.

"Pada tahun 2017, saya juga menggunakan data kajian Merdeka Centre sebagai sebahagian daripada rujukan saya ketika membuat kajian mengenai kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku dalam PRU-14.

"Berdasarkan kajian saya itu, saya menjangkakan BN hanya boleh menang maksima 100 kerusi parlimen dalam PRU14. Ternyata dalam pilihan raya itu, BN hanya menang 79 kerusi parlimen,” katanya.

Pada 19 Sept, Muhyiddin berkata rakyat Malaysia sedang bergelut dengan kejatuhan nilai ringgit, inflasi yang meningkat dan masalah ekonomi pasca-pandemik.

Katanya adalah lebih elok pilihan raya diadakan jika ekonomi tidak dapat diurus dengan lebih baik.

Ini mendorong Ismail mengatakan jika benar kerajaan gagal menguruskan ekonomi seperti didakwa ahli parlimen Pagoh itu, Bersatu turut 'menyumbang' kepada situasi tersebut.

Lihat Komen