malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MIC mahu tanding 12 kerusi parlimen termasuk Cameron Highlands - Sumber
ADS

MIC berhasrat untuk bertanding di 12 kawasan parlimen termasuk kerusi tradisi Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata sumber parti itu.

Menurut sumber daripada pucuk pimpinan parti itu, cadangan itu dipersetujui di peringkat pimpinan pusat parti dan akan di bawa kepada kepimpinan tertinggi BN untuk dipertimbangankan.

"Sejak 2004, MIC bertanding di sembilan kerusi parlimen. Kali ini kami bercadang bertanding di 12 kawasan parlimen.

"Ini selepas ketiadaan parti Gerakan dalam gabungan BN membuka pintu kepada MIC untuk bertanding lebih banyak kerusi," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Menurutnya, antara kerusi dikenal pasti adalah sembilan kerusi tradisi MIC, Sungai Siput, Tapah di Perak, Hulu Selangor, Kota Raja, Sungai Buloh, Kapar di Selangor, Port Dickson (Negeri Sembilan), Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).

Selain itu, parti itu mengenal pasti Teluk Intan (Perak) dan Padang Serai (Kedah) antara kerusi yang sesuai untuk ditandingi pada PRU15.

Pada PRU14 Teluk Intan ditandingi Presiden Gerakan, Mah Siew Keong, sementara calon MCA, Leong Yong Kong bertanding di Padang Serai.

Namun kedua-dua mereka tewas kepada calon PH.

"Buat masa ini, kami sudah ada penyelaras parti di Teluk Intan dan Padang Serai. Sekiranya pimpinan BN setuju, maka calon bertanding di kedua-dua kerusi itu," katanya.

Malaysiakini difahamkan, Naib Presiden MIC, T Murugiah merupakan penyelaras di Teluk Intan sementara bekas ahli parlimen Cameron Highlands C Sivaaraajh dilantik sebagai penyelaras parlimen Padang Serai.

Kerusi dipinjamkan kepada Umno

Dalam pada itu, sumber itu memberitahu MIC masih berminat untuk bertanding di Cameron Highlands yang menurut parti itu telah 'dipinjamkan' kepada Umno.

"MIC berhak menuntut semula kerusi itu. Pertama, Presiden MIC (SA Vigneswaran) telah beberapa kali menegaskan bahawa kerusi itu cuma dipinjamkan kepada Umno pada PRK Cameron Highlands.

"Kedua, kenyataan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa kesemua kerusi yang pernah ditandingi MIC pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan kekal menjadi milik parti itu untuk ditandingi pada PRU15.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata MIC juga boleh bertanding di kerusi lain, namun perlu berunding terlebih dahulu dengan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan (Tok Mat).

Pada PRU14, Sivaaraajh menang di Cameron Highlands sebelum Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya itu adalah terbatal.

Susulan itu, kerusi berkenaan itu diberikan kepada calon BN Ramli Mohd Nor yang menang bertanding pada pilihan raya kecil yang diadakan sebelum dia menyertai Umno pada 2020.

"Buat masa ini, kerusi itu masih milik MIC. Tapi, sekiranya Umno nak berunding untuk tukar lain, maka mereka perlu menukar kepada kerusi yang sama kuat seperti Cameron Highlands," katanya.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan respons daripada MIC dan Umno berhubung perkara ini.

Lihat Komen