malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jangan menidakkan ‘gajah rasuah’ di depan mata - Sultan Nazrin
ADS

Rakyat Malaysia tidak boleh memandang ringan, berhelah serta menindakkan kewujudan “gajah rasuah” di hadapan mata, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada penguat kuasa hendaklah dijadikan cermin dan dianggap petunjuk kepada situasi rasuah .

Baginda turut memetik kedudukan negara dalam penilaian persepsi rasuah oleh Transparency International di tempat ke-57 dengan mencatat skor 52 pada tahun 2020 dan kedudukan ke-62 dengan skor 48 pada 2021.

“Kini, Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

"Oleh yang demikian kita tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian, memikirkan segala justifikasi – bersilat dengan segala helah mahu menindakkan kewujudan gajah rasuah di hadapan mata,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika melancarkan buku Korupsi dan kemunafikan dalam politik Melayu oleh sarjana M Kamal Hassan. di Shah Alam hari ini.

Sementara itu, baginda berkata, penilaian keadaan rasuah wajib dilakukan secara jujur dan berfakta, supaya menjadi bukti kita sangat serius mahu memerangi dan menghapuskan rasuah.

"Kita wajib bersifat berani mengakui, realiti sedang berlakunya amalan rasuah pada skala yang membahayakan, berdasarkan berulang kali teguran yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

"Kekayaan negara disalah guna, hasil mahsul lesap. Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak.

"Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sebuah negara bangsa," titah baginda.

Justeru, menurut Sultan Nazrin, para aktivis yang terlibat dalam gerakan memerangi rasuah hendaklah memiliki semangat kental seperti para pemuda Ashabul Kahfi yang berdepan pemerintah yang zalim.

Lihat Komen