malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM tahan pesara pejabat tanah disyaki makan suap ketika berkhidmat
Diterbitkan:  Sep 21, 2022 8:52 PM
Dikemaskini: 12:52 PM
ADS

SPRM menahan seorang pesara kerajaan kerana dipercayai menyalahgunakan jawatannya dalam proses pengambilan tanah bagi projek lebuh raya pada 2005.

Sumber SPRM Kedah berkata lelaki berusia 69 tahun itu yang pernah bertugas di salah sebuah Pejabat Tanah dan Daerah di Kedah, ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM di Alor Setar, pada jam tiga petang semalam.

“Lelaki itu dipercayai menyalahgunakan jawatannya semasa proses pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek Lebuhraya Langkawi pada 2005.

“Sebagai balasan dia dipercayai mendapatkan suapan iaitu sebuah rumah di Sungai Menghulu, Langkawi untuk dirinya ketika masih dalam perkhidmatan,” katanya hari ini.

Sumber itu, bagaimanapun, berkata suspek dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM15,000 berserta seorang penjamin atas faktor usia dan kesihatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

-Bernama

Lihat Komen