malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Perwakilan Kelantan dakwa wujud gerakan ganggu-gugat Amanah negeri
ADS

Pucuk pimpinan parti Amanah Negara (Amanah) digesa memandang serius dakwaan wujud gerakan untuk mendesak pemilihan parti diadakan segera di peringkat negeri bagi menyingkirkan kepimpinan sedia ada.

Perwakilan Amanah dari Kelantan, Che Ibrahim Mohamed mendedahkan gerakan terbabit didalangi 17 individu dan mereka juga telah menandatangani akuan bersumpah (SB) untuk menyingkirkannnya selaku timbalan pengerusi Amanah negeri.

Bagaimanapun, Che Ibrahim tidak mendedahkan individu yang didakwa bertanggungjawab dalam memulakan gerakan terbabit yang disifatkan seumpama Langkah Sheraton.

"Antara sebab kita menentang Langkah Sheraton, ialah kerana berlakunya pengkhianatan mandat rakyat, mengambil kuasa pemerintahan tidak melalui saluran yang sepatutnya iaitu melalui pilihan raya.

“Kita kecewa, maka kita tolak Langkah Sheraton dan jika kita tidak setuju dengan Langkah Sheraton, mengapa kita membiarkan ada gerakan yang dibuat untuk menggangu-gugat keutuhan parti Amanah?" soalnya ketika berucap dalam perbahasan pidato presiden pada Konvensyen Amanah 2022 di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Dalam pada itu, Che Ibrahim juga mempersoalkan tindakan pihak tersebut yang disifatkannya sebagai “tidak sabar tunggu jadi pemimpin”.

"Kalau nak pemilihan, tunggu musim pemilihanlah,” katanya.

Amanah dilaporkan akan menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan hujung tahun ini selama 18 bulan.

Setiausaha agungnya, Hatta Ramli dipetik sebagai berkata, penangguhan itu membolehkan pemilihan parti berkenaan dilaksanakan selewat-lewatnya Jun 2024 dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah memberi kebenaran bagi penangguhan itu.

Pemilihan Amanah pertama kali diadakan pada Konvensyen Nasional Amanah Nasional 2019 pada 6 hingga 8 Dis 2019 di Shah Alam, Selangor bagi memilih Jawatankuasa Nasional Amanah untuk sesi 2019-2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen