Seorang peserta pertandingan ratu cantik Taiwan didakwa dihalang naik ke pentas pada acara anjuran kerajaan Malaysia semalam kerana tekanan daripada China.
Kementerian Luar Negeri Taiwan menuduh penganjur tunduk kepada tekanan China.
Majlis perasmian Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT) 2022 berlangsung di Pulau Pinang semalam.
Menurut laman web WCIT, acara itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (Pikom), yang didayakan secara strategik oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM). Ia dihoskan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Pegawai kerajaan Taiwan, Karen Yu, yang menghadiri majlis itu, berkata peserta daripada Miss Asia Global International Pageant akan mengibarkan bendera kebangsaan mereka di atas pentas.
Bagaimanapun, Miss Taiwan Kao Man-jung didakwa disekat oleh kakitangan WCIT daripada naik ke atas pentas, dengan Yu, yang merupakan ketua pengarah Jabatan IT Taoyuan, mendakwa ia dipengaruhi oleh China.
Yu menyiarkan video kejadian itu di Facebook dan menceritakan peristiwa semalam.

"Penindasan China terhadap Taiwan ada di mana-mana, walaupun dalam majlis gala teknologi maklumat seperti ini," katanya.
China dituduh sebagai pembuli
Yu berkata Kao menangis selepas itu, manakala peserta Taiwan lain menjerit "Taiwan Go" untuk menunjukkan sokongan mereka.
Penganjur WCIT kemudiannya memohon maaf kepada peserta pertandingan itu, dengan mengatakan bahawa disebabkan "perubahan saat-saat akhir", mereka tidak boleh membenarkannya tampil di atas pentas, dakwa Yu.
Dia mengutuk kejadian ini sebagai tindakan buli yang tidak munasabah oleh China.
Kementerian Luar Negeri Taiwan (Mofa) turut mengeluarkan kenyataan mengecam kejadian itu.

“Mofa berdiri bersama Kao dan semua warga Taiwan dalam usaha mereka untuk bersuara untuk Taiwan dalam suasana antarabangsa dalam bidang kepakaran masing-masing.
“Mofa meluahkan rasa tidak puas hati dan kesal atas keputusan salah yang dibuat oleh penganjur yang tunduk kepada tekanan China,” katanya.
Ia berkata Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei telah diarahkan untuk membuat aduan kepada penganjur.
Malaysiakini telah menghubungi penganjur dan kedutaan China di Malaysia untuk komen.
Pikom, penganjur WCIT 2022 menyatakan kekesalannya terhadap kejadian itu.
“WCIT 2022 ialah platform untuk semua ekonomi dunia untuk berkumpul secara positif dan hormat, menggalakkan kerjasama perniagaan dan mewujudkan peluang pelaburan untuk semua,” kata jurucakapnya kepada Malaysiakini.



