Bekas ketua polis negara Musa Hassan mengajukan langkah penyelesaian terhadap isu ratusan warga Malaysia yang didakwa menjadi tawanan di Laos, Kemboja dan Myanmmar selepas tertipu dengan sindiket tawaran pekerjaan dalam talian.
Jelasnya, pihak polis perlu memanfaatkan cawangan meja Asean di ibu pejabat Bukit Aman dalam menangani kes penipuan rentas sempadan di rantau ini.
"Saya semasa di PDRM, saya telah menubuhkan Asean Desk di Bukit Aman. Dan setiap anggota polis ada wakil-wakil negara Asean di Bukit Aman.
"Jadi, oleh itu saya berharap polis juga boleh mendapatkan maklumat-maklumat daripada wakil-wakil polis yang ada di sini untuk mengetahui jenayah-jenayah ataupun rakyat Malaysia yang ada di sana apa yang berlaku kepada mereka.

"Jadi kita boleh salurkan maklumat-maklumat ini kepada negara-negara itu untuk pihak berkuasa mengambil tindakan," katanya kepada pemberita di Wisma Putra, Putrajaya hari ini.
Musa berkata demikian ketika mengiringi NGO Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang menghantar memorandum ke Kementerian Luar.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO Hishamuddin Hashim (gambar, bawah) berkata usaha kerajaan Malaysia menggunakan kedutaan negara masing-masing tidak memadai. Sebaliknya, ia memerlukan usaha peringkat tertinggi iaitu melibatkan ketua-ketua negara di Asean.
"Percayalah sekiranya hanya menggunakan saluran biasa kes ini tidak akan dapat diselesaikan. Kita perlu melakukan tindakan yang luar biasa. Kita tidak berkompromi dengan penjenayah-penjenayah ini dengan cara membayar tebusan.

"Kita perlu menggunakan usaha yang lebih tinggi bukan sekadar menggunakan kedutaan negara masing-masing. Kita perlu menggunakan platform Asean, seperti yang kita tahu bahawa negara-negara yang terbabit merupakan anggota Asean.
"Kita mendesak Kementerian Luar Negeri dan Kerajaan Malaysia untuk menggunakan platform yang lebih tinggi, menggunakan ketua-ketua negara seperti perdana menteri Kemboja, Laos dan Malaysia," katanya.
Memorandum MHO kepada Kementerian Luar Negeri mendesak campur tangan perdana menteri Malaysia dan ketua-ketua negara Asean yang lain menyelesaikan sindiket penipuan ini.
Ahli keluarga mangsa pemerdagangan yang masih terperangkap di luar negara turut hadir dalam majlis penyerahan memorandum itu.

Memorandum itu diterima oleh Penolong Setiausaha Jabatan Konsular Wisma Putra K Saravanakumar.
Menurut Hishamuddin lagi, kes ini memerlukan perhatian ketua-ketua negara masing-masing kerana ia melibatkan pihak berkuasa di negara masing-masing.
"Saya ingin bezakan sebelum ini kita dengar bagaimana berlakunya penculikan, di Sabah di mena kumpulan daripada Abu Sayyaf, mereka diculik dan kita tidak tahu tempat mangsa penculikan.
"Kes ini berbeza di mana mangsa telah menghantar lokasi mereka dari negara adanya ditahan di bandar bukan di dalam hutan, dan kebanyakan penguatkuasa mengetahui lokasi mangsa.
"Ini menunjukkan bukti bahawa mereka sindiket-sindiket penipuan ini dilindungi oleh pihak berkuasa negara masing-masing," katanya.

