malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rosmah mohon gugur hakim, tangguh keputusan kes rasuah solar esok
ADS

Rosmah Mansor memfailkan permohonan untuk menggugurkan hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan menjelang keputusan kes rasuah berkaitan projek tenaga solar hibrid bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya.

Peguam kepada isteri bekas perdana menteri, Najib Razak itu memfailkan permohonan tersebut semalam bagi menangguhkan keputusan yang ditetapkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.

Mahkamah menetapkan untuk menyampaikan keputusan kes berkenaan esok, yang akan menyaksikan sama ada Rosmah dibebaskan atau disabitkan serta dijatuhkan hukuman.

Secara kebetulan, mahkamah semalam menolak permohonan kali kedua Rosmah untuk menggugurkan bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram daripada menjadi sebahagian anggota pasukan pendakwaan dalam kes solar itu.

Ketika dihubungi hari ini, peguam belanya, Akberdin Abdul Kader mengesahkan permohonan itu difailkan semalam dan pihak pendakwaan telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Menurut salinan permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi (bidang kuasa jenayah) itu, Rosmah berkata dia hilang kepercayaan terhadap keupayaan hakim untuk mendengar kes tersebut berikutan kebocoran draf penghakiman baru-baru ini yang didakwa menyatakan dia bersalah dalam kes itu.

Keupayaan hakim Zaini dipertikai

Rosmah mendakwa dia telah membaca artikel penulis blog Raja Petra Kamarudin bertajuk 'Rosmah Mansor will be Pronounced Guilty on 1st September 2022" bertarikh 26 Ogos di blog Malaysia Today.

Dia menegaskan bahawa draf penghakiman yang didakwa bocor dan tular di dalam talian itu menimbulkan persoalan sama ada Zaini boleh menjalankan tugasnya secara adil dan saksama tanpa dipengaruhi pihak ketiga.

Rosmah juga mendakwa draf penghakiman itu yang dikatakan disediakan oleh pihak ketiga selain Zaini, menunjukkan pelanggaran Kod Etika Hakim dan Kod Etika Pegawai Kehakiman.

Dia mendakwa kejadian itu mengundang pelbagai kritikan, persepsi dan tuduhan terhadap keupayaan, keadilan, kesaksamaan, kebijaksanaan dan integriti mahkamah untuk mengadili kes rasuah solar berkenaan.

“Pemohon (Rosmah) berasa amat terkejut apabila mendapati kandungan artikel yang menyatakan keputusan/penghakiman kes solar telah selesai, tetapi tidak disediakan oleh Yang Arif Hakim, tetapi bagi pihak YA Hakim.

“Pemohon dengan segala hormatnya menyatakan bahawa pendedahan penulis artikel itu menyebabkan pemohon hilang keyakinan terhadap YA Hakim untuk menjadi hakim bagi kes solar ini, apatah lagi beliau menyampaikan keputusan pada penghujung keseluruhan kes yang dijadualkan pada 1 Sept 2022,” katanya.

Menurut senarai kausa dalam talian, permohonan itu ditetapkan untuk dikemukakan di hadapan Zaini esok.

Mahkamah esok akan menyampaikan keputusan berhubung pertuduhan terhadap Rosmah yang didakwa meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsuddin, melalui bekas pegawai khasnya, Rizal Mansor.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sebagai balasan bagi membantu syarikat tersebut mendapatkan Projek Sistem Solar Bersepadu Photovoltaic (PV) dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset / Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen