malaysiakini logo
story-image
ADS

KATA MP | Selaku Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang terlibat dengan siri prosiding berhubung kegagalan perolehan kapal pesisir pantai (LCS) yang sepatutnya siap pada 2019, saya terpanggil untuk turut memberikan respon terhadap isu ini kerana ia melibatkan kepentingan negara dan keselamatan rakyat.

Melihatkan munculnya banyak elemen yang meragukan, maka saya telah mencadangkan kepada PAC agar lawatan ke Boustead Naval Shipyard (BNS) di Lumut dibuat segera ketika itu.

Justeru, lawatan dan prosiding PAC pada 11 Dis 2021 di Lumut, Perak telah memberi gambaran jelas tentang perkembangan projek ini.

Saya menyokong penuh keputusan perdana menteri bagi menyahklasifikan dokumen laporan audit Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang, demi memastikan proses siasatan dijalankan dengan penuh teliti dan adil.

Saya melihat kenyataan tidak tepat telah dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada beberapa hari lepas dan perlu dijelaskan untuk memberi kefahaman kepada rakyat.

Berdasarkan siasatan PAC, pembinaan fizikal kapal telah terhenti sejak 2019 apabila kesemua pekerja dan jurutera Naval Group (NG) bagi LCS Gowind dari Perancis yang terlibat dalam pembinaan kapal tersebut pulang ke negara mereka sekitar 2019-2020.

Ia berlaku setelah tiada pembayaran gaji dibuat oleh pihak BNS kepada pengeluar peralatan asal (OEM) bagi program tersebut.

Maka, muncul kemusykilan bagi kerja-kerja yang sedang dilakukan memandangkan projek itu harus dijalankan bersama pihak NG yang juga pemegang cetak biru (blueprint) reka bentuk kapal tersebut.

Saya meneliti perkara berkenaan kerana reka bentuk LCS terbabit sedikit berbeza dengan reka bentuk kapal-kapal LCS yang disiapkan untuk kegunaan tentera Mesir.

Perbezaan itu ialah penambahan panjang hull sebanyak 10 meter dan penambahan saiz berat sekitar 600 tan menjadikan ia seberat 3,100 tan (reka bentuk asal 2,500 tan) yang disiapkan NG untuk tentera laut Mesir.

Bandingkan dengan projek Mesir

Maka, pengubahsuaian itu menjurus kepada proses pembangunan reka bentuk terperinci yang baru melibatkan saiz komponen kapal seperti ketebalan struktur hull, posisi komponen di atas dek bagi keseimbangan pelayaran dan berlabuh akan berbeza berbanding asal.

Begitu juga dengan persoalan perbelanjaan pembinaan kapal LCS pertama oleh kerjaan Mesir di Perancis (ENS El Fateh) yang dikira lebih tinggi daripada Malaysia.

Hal itu berlaku kerana proses pembinaan melibatkan kos buruh yang lebih tinggi di Eropah sekiranya pembinaan dibuat di sana. Maka, ia merupakan situasi berbeza kerana kesemua enam LCS yang ditempah oleh Kementerian Pertahanan perlu dibina di Malaysia.

Bahkan, walaupun kontrak kepada DCNS diberikan kerajaan Mesir pada 2014, dan upacara keel laying dibuat di Lorient Shipyard, Perancis pada 2015, mereka telah mendapat perolehan LCS pertama pada 2017.

Projek kerajaan Mesir berjaya jika dibandingkan dengan pemberian kontrak pembinaan LCS oleh kerajaan Malaysia yang dimuktamadkan sejak 2011 lagi.

Berkenaan pesanan pukal (bulk order) peralatan peperangan termasuk peralatan elektronik, kita sedia maklum beberapa bahan berunsurkan getah, bateri dan sebagainya mempunyai tarikh luput.

Ia perlu digantikan setelah tamat tempoh penggunaannya.

Saya ingin memberi gambaran ketika lawatan PAC ke tapak pembinaan pada Nov 2021. PAC melihat rangka yang belum siap, bahkan tiada sebarang sambungan pendawaiaan elektrik dibuat, menyebabkan komponen elektronik perlu dicas.

Maka, pembelian pesanan pukal peralatan tersebut menyebabkan kerugian dari sudut kelupusan bahan dan proses menaik taraf sedangkan “rumah” iaitu struktur kapal tersebut, KD Maharajalela, hanya siap setakat 44.1 peratus.

Cara pengiraan peratusan penyiapan itu juga tidak dijelaskan secara terperinci. Perkara ini sangat mengejutkan ketika ia sepatutnya dihantar bagi pengoperasian TLDM pada 2019 lagi.

Antara persoalan penting dalam hal ini iakah kewajaran pemberian kontrak kepada NG memandangkan ia terbentuk melalui kerjasama DCNS dan Navantia dari Sepanyol.

Alami kerugian sangat besar

Kita sedia maklum DCNS pernah dibawa ke mahkamah atas isu perolehan dua kapal selam Scorpene yang pernah menjadi kontroversi semasa zaman pemerintahan BN yang lepas.

Maka, timbul persoalan dalam proses pemberian kontrak ketika kontrak asal diberikan kepada syarikat Sigma dari Belanda sebelum bertukar kepada Gowind dari Perancis.

Juga perubahan reka bentuk yang diubah hanya dalam tempoh kurang dari dua bulan.

Hal ini turut dilihat sebagai perkara yang memelikkan kerana sehingga kini reka bentuk terperinci masih belum siap, menyebabkan kelewatan penghantaran tergendala untuk masa yang lama.

Saya juga ingin memberi respon terhadap kenyataan mantan Panglima TLDM berkenaan pelancaran LCS di Lumut pada 2017.

Saya menyatakan persetujuan berkenaan tradisi pelancaran kapal yang belum siap sepenuhnya itu, tetapi ia harus mengambil kira gambaran model kapal LCS tersebut apabila hanya rangka luar sebenar kapal dan hull sahaja yang siap, tetapi tidak keseluruhan bahagian atas dek.

Justeru, sekali lagi saya menyeru agar siasatan menyeluruh dijalankan termasuk ketelusan proses pemberian kontrak, dan penukaran reka bentuk asal yang menjadi tanda tanya Malaysia sehinggakan negara rugi hampir RM6 billion sekiranya projek ini masih gagal disiapkan.

Juga, pemberian kontrak sebanyak RM9 billion - termasuk RM6.08 billion yang sudah diserahkan dan sepatutnya digunakan bagi tujuan pembinaan enam LCS, bukannya untuk membayar hutang lapuk BNS.

Perkara ini menggusarkan kerana akan menyebabkan dana yang diperuntukan tidak mencukupi, dan banyak teknologi peralatan berkemungkinan terpaksa diturun taraf) daripada teknologi asal yang dipinta oleh TLDM.


AHMAD TARMIZI SULAIMAN ialah ahli parlimen Sik dari PAS dan juga anggota PAC.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen