malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu LCS: Pihak yang salah perlu dihadap ke muka pengadilan - Hisham
Diterbitkan:  Aug 13, 2022 10:18 PM
Dikemaskini: 2:18 PM
ADS

Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab dalam isu perolehan kapal tempur pesesir (LCS) agar dihadap ke muka pengadilan.

Tegasnya, Kementerian Pertahanan (Mindef) tidak mempunyai agenda untuk menyembunyikan sesuatu berhubung isu tersebut.

"Saya tidak jemu untuk menegaskan berkali-kali iaitu saya dan Mindef tiada apa hendak disembunyikan. Yang harus jadi fokus sekarang ialah proses pemulihan - rundingan dengan pihak vendor, OEM (Original Equipment Manufacturer) dan perbankan di fasa mobilisasi enam bulan ini seterusnya memastikan projek LCS kembali ke landasannya seperti ditetapkan jemaah menteri.

"Dalam masa sama, pihak yang salah mesti dihadap ke muka pengadilan. Ia adalah tugasan pihak berkuasa yang telah dipertanggungjawabkan untuk menyegerakan tindakan supaya perkara sebegini tidak berulang lagi.

"Biar mereka lengkapkan siasatan dan segera mendakwa mereka yang bersalah," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 4 Ogos mendedahkan kira-kira RM6 bilion telah dibelanjakan untuk projek pembinaan kapal tersebut, namun tidak ada satu kapal pun yang telah disiapkan.

PAC antara lain mendapati Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak mengendahkan pandangan TLDM dalam perolehan kapal LCS.

Ini menyebabkan lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion yang diberikan pada 2011.

PAC juga mendapati kementerian pertahanan pada mulanya memilih reka bentuk jenis Sigma untuk LCS pada Mei 2011 tetapi dua bulan kemudian menukarnya kepada reka bentuk jenis Gowind, daripada pengeluar kapal selam Scorpene Perancis yang sama, sekali gus bercanggah dengan nasihat TLDM.

Keputusan untuk menukar reka bentuk itu dikatakan dibuat oleh menteri pertahanan ketika itu Ahmad Zahid Hamidi, atas cadangan BNS.

Terdahulu, Mindef hari ini membawa pengamal media melawat tapak pembinaan kapal LCS di BNS Lumut, hari ini.

Pihak media juga dibawa ke gudang penyimpanan peralatan dan diberi taklimat tentang reka bentuk LCS.

Lihat Komen