malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
LCS salah saya? Tunjuk bukti saya campur tangan atau ambil duit - Najib
Diterbitkan:  Aug 13, 2022 8:42 PM
Dikemaskini: 12:42 PM
ADS

Bekas perdana menteri, Najib Razak berkata mereka yang menyalahkannya atas kegagalan pemerolehan kapal tempur pesisir (LCS) perlu menunjukkan bukti bahawa dia campur tangan dalam reka bentuk kapal berkenaan dan mengambil wang daripada projek itu.

“Sila tunjukkan kepada saya bukti bahawa Najib pernah campur tangan dalam menukar jenis kapal dari Sigma kepada Gowind atau Najib pernah mengambil wang daripada projek ini,” kata Najib dalam catatan di Facebook hari ini.

Memandangkan projek LCS dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) semasa Najib menjadi perdana menteri, beberapa ahli parlimen pembangkang berkata ahli parlimen Pekan itu perlu bertanggungjawab di atas kegagalan projek itu dan bukannya cuba menyalahkan orang lain.

Ia berlaku selepas Najib cuba mengaitkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dengan BNS yang terpaksa menggunakan sebahagian daripada pembiayaan untuk LCS bagi membayar hutang lapuk daripada projek Kapal Peronda Generasi Baru (NGPV).

Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 4 Ogos mendedahkan masalah yang membawa kepada kegagalan perolehan LCS. Salah satu isu yang dibangkitkan ialah sebahagian daripada pembayaran yang dibuat oleh kerajaan untuk LCS digunakan oleh BNS untuk menyelesaikannya hutang lapuk NGPV.

Laporan PAC juga menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan menukar reka bentuk kapal LCS daripada jenis Sigma kepada Gowind – yang bercanggah dengan kehendak TLDM.

Kapal kelas Sigma ialah kapal tempur yang direka oleh syarikat kapal laut Belanda, Damen manakala kapal peronda Gowind direka oleh firma pertahanan Perancis DCNS (kini dikenali sebagai Naval Group).

Dalam kenyataannya hari ini, Najib secara sinis berkata dia akan berhenti menyalahkan kegagalan projek LCS kepada pihak lain selagi PH dapat menjawab beberapa soalan.

Dia sekali lagi mendakwa kelewatan pembinaan kapal LCS itu berpunca daripada pentadbiran PH sebelum ini dan meminta pakatan pembangkang menjawab perkara itu.

Dakwaan tersebut sebelum ini telah dijawab oleh bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu dan timbalannya ketika itu Liew Chin Tong.

‘Kenapa PH berdiam diri?’

Najib juga mempersoalkan mengapa PH mendiamkan diri dalam isu tsersebut sedangkan tarikh akhir penghantaran pada April 2019 untuk LCS telah terlepas.

Dia mempersoalkan apakah yang dilakukan PH untuk menyelesaikan kelewatan tersebut pada masa itu.

“Kenapa sekarang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kamu semua menjadikan isu kelewatan penghantaran projek yang dihentikan semasa kamu dalam kerajaan sebagai isu utama?” soalnya.

Najib berkata Mohamad dan Liew sebelum ini mengatakan BNS kehabisan dana untuk meneruskan projek itu, namun dia mempersoalkan apakah yang dilakukan kerajaan PH ketika itu untuk membantu syarikat berkenaan.

“Berapa banyak dana atau jaminan pinjaman yang diberikan oleh kerajaan PH kepada Boustead untuk memastikan kontrak strategik nasional ini disambung dan diteruskan?” soalnya.

Selain itu, dia menegaskan, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah pemegang saham utama Boustead Holdings Berhad – syarikat induk BNS.

Salah satu matlamat strategik projek LCS juga adalah untuk membina keupayaan negara bagi membina dan menyelenggara kapal tentera laut, kata Najib.

"Jika projek ini tidak diberikan kepada Boustead yang dimiliki oleh LTAT, maka siapakah konsortium atau syarikat terbaik seterusnya yang mempunyai pengalamanindustri yang betul serta limbungan pembinaan yang diperlukan untuk memberikan projek itu?" katanya.

Katanya, jalan lain yang ada adalah dengan membeli kapal yang dibina di luar negara tetapi dia mempersoalkan apakah Malaysia hanya mahu kekal sebagai "sekadar pelanggan”.

Dalam pada itu Najib juga membidas projek kontroversi terowong bawah laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion ketika pengerusi kebangsaan DAP, Lim Guan Eng menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

Najib berkata dia boleh menunjukkan gambar kapal LCS dalam pelbagai peringkat pembinaan, tetapi mempersoalkan di manakah gambar pembinaan terowong berkenaan.

"Tidakkah kamu mahu membentuk PAC untuk ini juga?" sindirnya.

Lihat Komen