malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Naikkan OPR tak bantu turunkan inflasi - Pemuda Umno
Diterbitkan:  Aug 13, 2022 11:52 AM
Dikemaskini: 3:52 AM
ADS

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki meminta supaya Bank Negara Malaysia (BNM) tidak lagi meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) yang diramal akan dinaikkan sekali lagi pada September ini.

Dia berkata kenaikan OPR bukan sahaja menambah bebanan peminjam, malah ia tidak menyumbang kepada penurunan kadar inflasi.

“Dengan menaikkan OPR, sebagaimana teori monetari konvensional, Bank Negara berharap agar sektor perniagaan akan mengurangkan pelaburan dan sektor isi rumah akan mengurangkan perbelanjaan disamping meningkatkan kadar simpanan.

“Tetapi dengan tingkat kadar hutang sektor isi rumah di negara kita yang tinggi, maka kenaikan kadar bunga hanya akan mengurangkan perbelanjaan isi rumah melalui pertambahan pembayaran balik pinjaman, bukannya menerusi peningkatan kadar tabungan.

“Namun begitu, oleh kerana kenaikan kadar inflasi yang berlaku bukanlah berpunca daripada lebihan permintaan sebaliknya akibat permasalahan berkaitan 'supply side disruption' dan 'energy supply shock' kerana perang di Ukraine, maka kenaikan OPR tidak akan berjaya menurunkan kadar inflasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut firma penyelidikan Kenangan Research (Kenanga) BNM dijangka mengekalkan kecenderungan untuk meningkatkan kadar faedah pada September, menyaksikan kenaikan OPR untuk kali ketiga berturut-turut tahun ini.

Menurut Kenanga, jangkaan kenaikan OPR adalah berdasarkan unjuran bahawa kadar inflasi Malaysia akan berada pada purata melebihi paras 4.0 peratus pada separuh kedua 2022 (2H22) berikutan kenaikan harga makanan di tengah-tengah peningkatan kos import.

Menurut Asyraf, dalam keadaan ekonomi domestik negara kita yang masih belum pulih sepenuhnya, serta ditambah dengan tambahan bebanan kewangan ke atas peminjam akibat kenaikan OPR, ia berkemungkinan besar akan menjerumuskan lebih ramai orang kepada masalah insolvensi.

“Bukan itu sahaja, malah pengurangan tingkat perbelanjaan dalam ekonomi yang diharapkan kesan kenaikan OPR turut akan mengganggu proses pemulihan ekonomi domestik pasca Covid-19 yang sedang direncanakan,” katanya.

Lihat Komen