malaysiakini logo
story-image
ADS

Ahmad Lutfi Othman meninggal dunia tanpa melihat media Malaysia menjadi bebas. Menuntut kebebasan media semangnya perjuangan allahyarham. Ini semua orang tahu–yang mengenalinya dengan dekat mahupun orang yang hanya tahu namanya.

“Topik dan agenda kebebasan bersuara memang menjadi keutamaan saya baik dalam penulisan mahupun kegiatan,” kata Lutfi dalam wawancara beberapa tahun lalu. 

Tidak perlu saya huraikan apa yang allahyarham lakukan dalam mengejar impiannya kerana ramai yang lebih arif sudah menulis mengennai perjuangan Lutfi. Perjuangannya membara walaupun semasa allahyarham sakit akibat bermacam penyakit.

Kesimpulan terbaik saya kira dibuat Sasterawan Negara A Samad Said begini:

“Selepas era awal kemerdekaan alam wartawan Melayu khususnya mulai menggelongsor ke taraf hampa (walaupun kurang manis bunyinya). Menyokong boleh, menentang dipandang, mengimbang diragukan. 

“Yang boleh, menyanjung. Jadi wartawan anggukan.Ternyata Ahmad Lutfi Othman bukan orangnya. Dia cekal berbeza.” 

Kata-kata itu saya petik daripada prakata Pak Samad untuk buku yang dihasilkan sekumpulan teman allahyarham pada 2016 berjudul Lorong Sunyi Media Bebas. 

Tajuk diberikan amat tepat kerana bak kata teman-temannya yang menghasilkan buku itu, “Lutfi selama ini seperti berada dalam dunia yang sunyi dan tersendiri walaupun sebenarnya bingit dan menyiksakan dihimpit pelbagai halangan dan sekatan.”

Berkata lagi Pak Samad: 

“Kini zaman kurang enak kerana wartawan tidak sesasa dulu. Wartawan bukan lagi pelapor tulen. Matanya mata yang patuh. Matanya sekadar menjadi kamera. Dan abjadnya bukan lagi menjadi peta. 

“Kini kebanyakan wartawan hanya pekerja bulanan (ingat wartawan jati jarang makan gaji tanpa makan hati).: 

Lutfi sendiri pernah mengaku dalam banyak keadaan beliau anggap malang menjadi wartawan di negara ini. 

“Kita hanya jadi alat dan perkakas orang lain khususnya pemimpin politik. Kalau alat untuk mudahkan kerja kebaikan, bagus. Selalunya kita diminta berbuat apa saja yang diperintah, jangan campur tangan hal orang atasan.

“Untuk menjadi wartawan perlu ada media tapi ia dikawal mutlak oleh penguasa. Tidak ada kebebasan media di negara kita.”

Majlis Media dalam ‘peti sejuk’

Maka berjuanglah allahyarham memburu kebebasan media dan kebebasan bersuara. Namun media kita masih tidak bebas walaupun ada pihak yang menunjuk ke arah apa yang mereka lihat “tanda-tanda” cengkaman tidak sekeras dulu. 

Tetapi undang-undang dan peraturan  “pelik” (tidak mahu saya gunakan istilah “kejam” atau draconian) tetap ada. 

Bukanlah rahsia besar bahawa media Malaysia, terutama yang mengelar dirinya “arus perdana”, mengamalkan penapisan diri (self censorship) demi kelangsungan atau takut pada undang-undang “pelik” yang disebut tadi.

Indeks Kebebasan Media Global 2022 yang dikeluarkan Reporters Without Borders meletakkan Malaysia di tangga 113 daripada keseluruhan 180 negara. Berdasarkan indeks itu Malaysia memperbaiki kedudukan setelah mencatat tempat terburuk tahun lepas iaitu tangga ke-119.

Pun begitu hakikatnya media Malaysia masih tidak bebas. Tetapi Lutfi sudah tiada. Berakhirkah perjuangan menuntut kebebasan media dengan ketiadaan allahyarham? 

Saya pasti jawapan kita semua sama– perjuangan tidak terhenti dengan pulangnya Lutfi ke rahmatullah pada 9 Julai. 

Perjuangan Lutfi tidak sia-sia. Maka menjadi tanggungjawab  kita–sama ada wartawan, pengamal media dan rakyat–menuntut dan mendesak media kita dibebaskan.

Apabila media bebas wujud, demokrasi turut muncul.

Namun isu kebebasan media seperi yang pernah dikatakan Lutfi dahulu, tidak begitu menarik minat awam. Lalu allahyarham menyarankan “tiada jalan lain kecuali mencerdaskan  minda dan mencerdikkan fikiran rakyat”. 

Oleh itu wartawan dan pengamal media mesti bergerak ke arah itu.

Lutfi bersama rakan rakan pernah menubukan Kami–Kumpulan Aktivis Media Indepen– dalam mengerakkan perjuangan media bebas. Mungkinkah perlu Kami dihidupkan semula? Disambung legasinya?  

Diakui sudah kumpulan wartawan yang membawa perjuangan sama seperti Geramm atau Gerakan Media Merdeka. Pertindihan semangnya mesti dielakkan. Namun tidak dinafikan lebih banyak yang mendesak untuk media bebas, lebih baik, selagi tidak bercanggah. 

Pun begitu tidak dinafikan ada kumpulan wartwan kita yang selesa dan senang dengan cengkaman serta kongkongan yang dikenakan ke atas media (baca: diri mereka sendiri).

Allahyarham semasa hayatnya mengalu-alukan penubuhan apa yang dikenali sebagai Majlis Media Malaysia. Menurutnya, ia satu langkah ke hadapan, meskipun ada kelemahan dan tidak sempurna.

Namun apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang mengambil langkah menubuhkan majlis itu, tumbang, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih pentadbiran negara “memetisejukkan” penubuhan majlis berkenaan.  

Dan kerajaan Keluarga Malaysia yang sekarang memerintah juga pada hemat saya tidak berminat meneruskan penubuhan itu meskipun menteri komunikasi dan multimedia Annuar Musa mengumumkan kementeriannya menubuhkan pasukan petugas untuk meneliti rang undang-undang Majlis Media Malaysia. 

Lawatan 3 Mei ke Suhakam

Saya melihat itu seakan langkah melengah-lengahkan. Kaji, teliti 1,001 kali sebelum menyerahkan sesuatu cadangan kepada kerajaan kerana ia pasti memakan masa yang lama. Justeru adalah wajar kumpulan wartawan mendesak penubuhan majlis itu dipercepatkan– jika difikirkan ia sesuatu yang bagus untuk kebebasan media. Atau utarakan cadangan memperbaiki majlis berkenaan. Atau kemukakan cadangan baru. 

Mungkin tokoh wartawan negara Johan Jaafar boleh tampil dengan ide tersendiri. Johan yang juga bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu dan bekas pengerusi Media Prima pada Januari 2020  menyifatkan penubuhan Majlis Media ketika era Internet dikuasai media sosial  sebagai tindakan sia-sia. 

Beliau mahu Malaysia belajar daripada pengalaman United Kingdom. Pada tahun 1991, Majlis Akhbar UK ditiadakan dan muncul rancangan supaya ia digantikan dengan Suruhanjaya Aduan Ahkbar UK. 

Oh, seperkara lagi, Lutfi tidak pernah bosan datang ke pejabat Suhakam setiap 3 Mei sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia membuat aduan dan mengemukakan pelan untuk menwujudkan media bebas di Malaysia. 

Ini dilakukan setiap tahun sehingga kesihatannya tidak mengizinkan. Mungkin aktivis media masa kini mahu menghidupkan semua amalan itu? 

Apa pun banyak lagi yang mesti dilakukan demi mencapai media bebas di Malaysia. Bukan hanya meneruskan perjuangan Lutfi dan memastikan perjuangannya tidak sia-sia tetapi lebih penting unuk kebaikan rakyat dan negara.

Penulisan ini saya akhiri  dengan pesanan allahyarham Ahmad Lutfi Othman yang sering disuarakan: 

"Kebebasan  akhbar mesti dituntut dan diperjuangkan, bukan hanya menunggu ihsan atau pemberian penguasa”. 


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini. 


Lihat Komen