malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis siasat RPK tuduh pengarah polis bawa teman wanita ketika serbu rumah Najib
Diterbitkan:  Aug 12, 2022 9:40 PM
Dikemaskini: 1:40 PM
ADS

Polis telah membuka kertas siasatan berkaitan dakwaan oleh blogger Raja Petra Kamaruddin (RPK) bahawa bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Amar Singh Ishar Singh membawa teman wanita ketika serbuan di rumah bekas perdana menteri Najib Razak pada Mei 2018.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima laporan itu petang tadi berkaitan tuduhan yang dimuat naik ke portal Malaysia Today kendalian RPK dan akaunnya di You Tube.

"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Polis sedang menjalankan siasatan dan seterusnya kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," kata Noor Dellhan pada satu kenyataan hari ini.

Gambar fail, Amar Singh.

Seksyen 500 Kanun Keseksaan merujuk kesalahan jenayah fitnah manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Amar telah membuat laporan polis petang tadi terhadap Raja Petra berhubung dakwaan itu.

Dia berkata dua lagi pesara timbalan pengarah polis, yang hadir pada serbuan itu, turut membuat laporan polis terhadap Raja Petra.

Amar, yang bersara pada Disember 2018, turut menafikan dakwaan Raja Petra mengenai teman wanitanya, berkata serbuan itu dilakukan dengan mematuhi sepenuhnya peraturan paling ketat yang dikenakan.

"Rekod terperinci dibuat mengenai apa yang ditemui, tiada wanita dalam kalangan orang awam hadir serta tiada apa-apa yang dikeluarkan seperti yang dilaporkan RPK (Raja Petra).

"Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa serbuan itu dilakukan oleh sepasukan yang terdiri daripada beberapa Timbalan Pengarah dan penolong pengarah polis, pegawai kanan polis di mana sebahagian daripada mereka kemudian dilantik menjadi Pengarah PDRM dan Ketua Polis Negeri," katanya pada satu kenyataan hari ini.

"Oleh itu tidak ada kemungkinan wujud konspirasi untuk disembunyikan. Saya sengaja membentuk pasukan serbuan daripada elemen berbeza untuk mengelakkan dakwaan palsu oleh 'tentera upahan' seperti RPK mengenai serbuan itu," katanya.

"Keseluruhan proses serbuan diambil gambar dan dirakam video dari awal hingga akhir oleh pasukan bebas dari JSJ. Gambar dan video ini masih dalam simpanan JSJ.

Gambar fail.

"Tidak mungkin orang awam dapat mengelak rakaman kamera dan video ini tanpa disedari sesiapa, melainkan orang ini mempunyai 'ilmu ghaib' dan tidak kelihatan," katanya lagi.

"Tidak apa-apa yang boleh melepasi dan menembusi pasukan serbuan yang besar ini di lokasi kediaman itu Pavilion Residen, Bukit Bintang, pada hari serbuan," jelasnya lagi.

Amar mengetuai serbuan berkaitan 1MDB ke atas premis yang dikaitkan dengan Najib selepas kejatuhan kerajaan BN dalam PRU14 pada Mei 2018.

Barangan yang dirampas daripada serbuan itu bernilai antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Lihat Komen