malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
LCS: SPRM perlu lebih teliti, Peguam Negara kena proaktif
Diterbitkan:  Aug 12, 2022 9:30 PM
Dikemaskini: 1:44 PM
ADS

Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) berpandangan tiada keperluan untuk kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat isu pembinaan kapal tempur persisir pantai (LCS) yang tergendala.

Ahli JKMR, Hassan Abdul Karim, berkata hal itu kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah pun mengemukakan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara..

Bercakap mewakili JKMR, Hassan berkata, badan itu bagaimanapun mengesyorkan SPRM supaya melakukan siasatan lanjut yang lebih terperinci tentang isu LCS kerana terdapat keterangan baru hasil pendedahan Laporan Audit Negara yang dibentangkan di parlimen baru-baru ini.

"JKMR juga mengesyorkan supaya SPRM membuat siasatan susulan berkaitan pendedahan yang telah dibuat oleh PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) berkenaan isu pemerolehan kapal-kapal LCS," katanya.

Hassan yang juga ahli parlimen Pasir Gudang itu juga berkata JKMR mengesyorkan Peguam Negara selaku pendakwa raya mengambil tindakan lebih bersungguh-sungguh dan proaktif.

"Pendakwa raya (Peguam Negara) perlu segera mendakwa di mahkamah mereka yang bersalah dalam isu LCS tersebut," katanya yang menegaskan kenyataan tersebut dibuat dengan restu Pengerusi JKMR Rais Yatim.

Sebelum ini ada beberapa pihak mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menjawab persoalan berhubung kelewatan serius pembinaan kapal tempur berkenaan.

Semalam Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan turut mengemukakan memorandum kepada Istana Negara bagi menuntut kerajaan menubuhkan RCI.

Turut senada dengan Bersatu ialah Pemuda Umno Malaysia dan ia disuarakan oleh ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki.

Jelas Asyraf Wajdi, tindakan menunding jari dan membiarkan polemik mengenainya berterusan hanya akan mengusutkan lagi keadaan sedangkan rakyat mahukan jawapan yang tuntas.

Hassan berkata, JKMR menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bahawa tidak ada sesiapa yang bersalah di dalam skandal LCS yang akan diberi perlindungan.

"JKMR juga mengalu-alukan keputusan perdana menteri untuk menyah rahsia (declassify) laporan mantan Ketua Audit Negara, Ambrin Buang, berkaitan pemerolehan kapal-kapal tempur LCS tersebut," katanya.

Lihat Komen