malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Najib, adakah LCS dirancang untuk bayar hutang projek kapal lain?'
Diterbitkan:  Aug 12, 2022 8:57 PM
Dikemaskini: 1:02 PM
ADS

Bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu dan bekas timbalannya Liew Chin Tong menyoal jika bekas perdana menteri Najib Razak merancang dari awal mahu menjadikan projek kapal tempur pesisir (LCS) untuk membantu membayar hutang lapuk daripada projek kapal peronda generasi baru (NGPV) yang gagal.

Ini selepas Najib cuba mengaitkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang terpaksa menggunakan sebahagian daripada pembiayaan LCS untuk membayar hutang lapuk NGPV.

"Pada 2011, Najib sebagai perdana menteri keenam meluluskan perolehan enam LCS dan memberikan kontrak tersebut kepada BNS.

"(Adakah) perdana menteri keenam memang memulakan projek LCS secara rundingan terus dengan tujuan untuk membayar hutang lapuk NGPV?

"Jawapan Najib kepada soalan ini akan bantu kita semua memahami masalah projek LCS," kata Mohamad dan Liew pada satu kenyataan hari ini.

Lebih RM6 bilion daripada siling RM9 bilion peruntukan projek LCS telah dibayar kepada BNS oleh kerajaan Malaysia. Daripada RM6 bilion itu, sejumlah RM745 juta digunakan untuk "bailout" projek NGPV, kata mereka.

Mohamad dan Liew mendakwa pengunaan dana dengan cara begini merupakan satu jenayah pecah amanah bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

"RM9.128 bilion ini adalah untuk menjayakan projek LCS, bukan untuk “bailout” projek NGPV."

"Pada asasnya, apa yang dilakukan di sini ialah menutup kerugian perjanjian lama yang gagal dengan perjanjian baru," kata mereka.

"Jika kita ikut logik Najib, hutang lapuk NGPV adalah tanggungjawab PM4, maka segala masalah LCS adalah tanggungjawab PM6 kerana segala keputusan berkenaan LCS berlaku semasa Najib menjadi PM6 dari 2009 ke 2018," tambah bekas menteri era PH dan bekas timbalannya itu.

Meskipun Najib cuba menuding kegagalan projek NGPV kepada Mahathir, Mohamad dan Liew berkata Najib juga terlibat secara mendalam dalam projek berkenaan sebagai menteri pertahanan pada masa itu.

Mereka menegaskan projek kapal peronda generasi baru itu dibuat antara 1998 dan 2010 manakala Najib menjadi menteri pertahanan dari 1999 hingga 2008, serta dari 1990 hingga 1995.

Mereka berkata, isu ini sudah pun bermula sejak 1990 lagi, apabila Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mula merancang pemerolehan 27 kapal peronda.

Selepas mendapat kelulusan pada prinsipnya daripada kabinet pada tahun 1993, cadangan pembinaan dan pemerolehan kapal peronda telah dimasukkan dalam perjanjian penswastaan Naval Dockyard Sdn Bhd (NDSB) antara kerajaan Malaysia dan Penang Shipbuilding and Construction Sdn Bhd (PSC) dengan teratur untuk membentuk sebuah konsortium yang dipanggil PSC-NDSB.

"Maksudnya, Najib selaku menteri pertahanan juga setuju untuk menswastakan limbungan ini," kata Mohamad dan Liew.

Kontrak perolehan NGPV kemudiannya ditandatangani dengan PSC-NDSB pada tahun 1998.

Selepas kegagalan projek NGPV, Boustead Holdings Berhad mengambil alih PSC-NDSB pada 2005 dan menamakan semula syarikat itu sebagai BNS pada tahun berikutnya.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga mendapati pada 2005 projek NGPV tidak diurus dengan baik oleh kontraktor dan Kementerian Pertahanan.

Selain itu, laporan Ketua Audit Negara pada 2006 juga mendapati projek NGPV mempunyai banyak kelemahan kerana kerajaan dan Kementerian Pertahanan memberi terlalu banyak peluang kepada syarikat yang mempunyai isu kewangan dan pengurusan sehingga kepentingan kerajaan tidak dipelihara.

Mohamad dan Liew mengingatkan bahawa Najib ialah menteri pertahanan ketika semua ini berlaku.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ahmad Nazim Abdul Rahman berkata Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) terpaksa menggunakan sebahagian daripada dana daripada perolehan kapal tempur pesisir (LCS) untuk membayar hutang lapuk projek lain.

Ini kerana Boustead Holdings Bhd - yang pemegang saham terbesarnya adalah LTAT - terpaksa pada satu ketika mengambil alih PSC Industries Bhd yang dibebani hutang, sebuah syarikat yang gagal menunaikan kontrak RM9 bilion untuk membina enam kapal peronda luar pesisir.

“Selepas kegagalan projek penswastaan pembinaan kapal-kapal tentera laut yang diberi kepada syarikat PSC satu ketika dulu, Boustead terpaksa mengambil alih syarikat ini demi menyelamatkan kerugian di seluruh rantaian kewangan dan ekonomi.

“Pengambilalihan ini termasuk hutang bank yang amat besar yang kini terpaksa ditanggung oleh Boustead Holdings dan Boustead Naval Shipyard. Maka sebahagian dari wang LCS terpaksa digunakan untuk bayar hutang lapuk syarikat PSC ini.

“Maklumat ini ada dalam laporan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara),” kata Nazim pada 9 Ogos lalu.

PAC mengeluarkan laporan pada 4 Ogos, menyorot masalah yang membawa kepada kegagalan inisiatif perolehan kapal tempur TLDM itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen