malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wong kisahkan pengalaman 'sedih' lawat limbungan kapal LCS
Diterbitkan:  Aug 12, 2022 7:55 PM
Dikemaskini: 11:55 AM
ADS

Menyedihkan - demikian reaksi pertama Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh, berhubung laporan PAC mengenai kapal tempur pesisir (LCS) yang dibentangkan badan itu baru-baru ini.

Wong berkata PAC telah mengadakan 10 prosiding, dengan satu lawatan tapak ke limbungan kapal syarikat yang diberikan kontrak membina LCS iaitu Boustead Naval Shipyard (BNS) yang berada di Lumut, Perak.

PAC juga katanya memanggil seramai 21 orang saksi untuk memberi keterangan berhubung siasatan yang dijalankan itu.

Hanya selepas itu, katanya, laporan setebal 247 halaman berserta penyata hansard sebanyak 489 muka surat, dan 192 muka slaid dibentangkan sebagai laporan penuh.

"PAC memutuskan untuk melawat limbungan kapal BNS selepas menerima keterangan ketua setiausaha Kementerian Pertahanan, saksi dari BNS, dan bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi," katanya hari ini.

Menceritakan pemerhatian PAC dalam lawatan tersebut, Wong berkata, di limbungan berkenaan ada 13 gudang simpanan yang menempatkan perkakasan berkaitan projek LCS.

Lima daripadanya adalah khusus untuk perkakasan LCS, manakala lapan lagi digunakan sebagai gudang simpanan am BNS yang mengandungi pelbagai perkakasan untuk LCS dan barang-barang lain.

"Kami melawat beberapa gudang simpanan. Terdapat perkakasan persenjataan, bahagian untuk pembinaan kapal, dan barang-barang lain.

"Apa yang menarik perhatian ialah ada beberapa bungkusan TV pintar untuk kegunaan LCS disimpan di stor ini.

"Kita semua tahu yang TV pintar ini tidak lagi 'pintar' selepas beberapa tahun," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Tanggung banyak kerugian

Pada 4 Ogos lalu, PAC menerbitkan laporan dapatan mereka berhubung projek pembinaan kelengkapan pertahanan negara yang sepatutnya diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beberapa isu yang ditimbulkan menarik perhatian ramai dan mencetuskan polemik di antara pihak kerajaan dan pembangkang.

Misalnya kegagalan enam LCS itu disiapkan mengikut tempoh yang dipersetujui, keengganan pihak kerajaan dan kontraktor menerima pandangan daripada pegawai tertinggi TLDM serta kedudukan syarikat yang terlibat dalam pembinaan tersebut.

Projek itu membabitkan dana sebanyak RM9 bilion untuk mendapatkan enam LCS yang dimulakan pada 2011. Namun sehingga hari ini tidak ada satu pun LCS disiapkan di sebalik dana sebanyak RM6 bilion yang sudah dibayar.

Kapal pertama sepatutnya diserahkan kepada TLDM pada 2019.

Setakat ini LCS pertama itu dijangka mungkin hanya akan diserahkan menjelang 2024.

Perkara lain yang menjadi isu ialah reka bentuk pilihan Kementerian Pertahanan yang bertentangan dengan kehendak TLDM, serta kemungkinan salah laku kerajaan BN dari 2011 hingga 2018.

Selain Najib dan Zahid, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein juga dikaitkan dalam kegagalan LCS itu.

Wong berkata dia tidak tahu sama ada perkakasan yang diperolehi sejak dari 2013 itu masih lagi 'pintar' untuk digunakan.

"Saya tidak pasti mengenai yang lain, terutama mengenai bahagian dan perkakasan yang melibatkan teknologi kapal tempur.

"Kami menyemak dan mendapati banyak perkakasan dan barangan itu dibeli pada 2013, 2014, dan 2015.

"Persoalan timbul ialah, sama ada barang-barang berkenaan masih cukup 'pintar' untuk kegunaan sekarang dengan mengambil kira kemajuan teknologi terkini," katanya lagi.

Tambahnya lagi, BNS memaklumkan kira-kira 15 peratus daripada barangan yang diperolehi dalam simpanan dengan nilai RM1.7 billion dikira usang dan bermakna kerugian dianggarkan melebihi RM263 juta.

Wong juga menjelaskan bagaimana dalam prosiding PAC mereka diberitahu mengenai kedudukan kewangan BNS yang dalam keadaan serisu ekoran masalah pengurusan.

"Ahli PAC, Wong Shu Qi, bertanya sama ada kesemua RM6 bilion telah dibelanjakan oleh BNS.

"Ketua Pegawai Eksekutif BHIC (Boustead Heavy Industries Corp Bhd), Sharifuddin Md Zaini, mengakui 'memang duit kita sudah habis… syarikat memang tidak ada duit dan memang akan lingkup pun besok silap-silap.'

"Gaji kakitangan dipotong sejak Okt 2020, caruman KWSP tidak dibayar sejak Mei 2021.

"BNS hanya bergantung kepada beberapa kerja kecil seperti kerja-kerja pembaikan untuk TLDM untuk terus hidup," katanya merujuk kepada keterangan pada halaman 49 hansard PAC.

Justeru Wong berharap laporan PAC mengenai LCS itu dapat membantu negara untuk dijadikan panduan bagi melaksanakan perolehan pertahanan.

Ia juga, tambah ahli parlimen Ipoh Timur itu, boleh dijadukan pedoman supaya tiada sebarang kuasa dan proses disalahgunakan.

"Kisah seram projek LCS akan menjadi pengajaran kepada mereka yang berkuasa, sekarang dan akan datang," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen