malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Turun anjur tunjuk perasaan sambut ulang tahun Ismail Sabri jadi PM
Diterbitkan:  Aug 12, 2022 6:52 PM
Dikemaskini: 10:52 AM
ADS

Sekumpulan aktivis merancang mengadakan bantahan sempena ulang tahun pertama Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri di di Kuala Lumpur pada Sabtu 20 Ogos depan.

Digelar "Himpunan Kerajaan Gagal", penganjur protes yang menamakan diri mereka sebagai jawatankuasa Turun berkata bantahan itu akan berlangsung pada pukul 2 petang di hadapan kompleks beli-belah Sogo.

Ini himpunan kedua digerakkan oleh kumpulan itu dalam tempoh sebulan. Pada 23 Julai, polis menghalang penunjuk perasaan himpunan Turun yang berkumpul di Sogo daripada berarak ke Dataran Merdeka.

Jawatankuasa himpunan Turun pada satu kenyataan hari ini berkata Ismail Sabri telah mewarisi legasi 'kerajaan yang gagal' kerana dia dan beberapa anggota kabinet didakwa gagal menangani masalah besar dalam negara.

"Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diumumkan oleh Ismail Sabri 44 hari lalu ternyata sebuah jawatankuasa yang gagal menangani inflasi kerana harga barang tetap sedang meningkat.

"Tiada sebarang tindakan ataupun bantuan tambahan yang disalurkan kepada rakyat yang dihimpit dengan kos sara hidup," katanya.

Jawatankuasa Turun juga berkata tidak ada satu pun tuntutan mereka yang disuarakan dalam tunjuk perasaan bulan lalu telah ditunaikan kerajaan.

"Malah, kita disajikan dengan masalah dan skandal tambahan seperti ketirisan yang melibatkan kapal pesisir pantai LCS yang mencecah RM9 bilion," katanya lagi.

Turun dalam protes itu mengemukakan lima tuntutan mendesak kerajaan untuk memotong gaji menteri, mengekalkan subsidi, menyalurkan bantuan bermaruah, mengawal harga barang dan menyelesaikan isu jaminan bekalan makanan.

"Tindakan dan respon dari awal sehingga ke detik ini menunjukkan bahawa Ismail Sabri bukan seorang pemimpin dan tidak layak menjawat jawatan perdana menteri," dakwa Turun.

"Ismail Sabri merupakan bekas menteri pertahanan selama 17 bulan dan sudah pasti mengetahui latar belakang skandal ini tetapi masih tidak menjawab isu-isu yang dibongkarkan sejak skandal ini meletus selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mengeluarkan laporan mengenai isu ini," dakwa jawatankuasa himpunan itu lagi.

Turun turut melahirkan rasa tidak senangnya terhadap cara kerajaan menangani banjir besar pada Disember tahun lalu dan rampasan aset oleh individu yang dikatakan sebagai waris kesultanan Sulu.

"Malah, Malaysia jatuh kepada kedudukan ke-32 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) 2022, turun sebanyak tujuh tangga daripada kedudukan ke-25 pada 2021 merupakan amaran jelas tentang kegagalan tadbir urus yang baik oleh pentadbiran Ismail Sabri," kata Turun.

"Ismail Sabri juga tidak menunjukkan keberanian berkaitan dengan integriti serta rasuah, apabila kes rasuah Azam Baki, ketua pesuruhjaya SPRM, seolah-olah ditutup," dakwa Turun.

"Sudah terang lagi bersuluh bahawa lantikan, dasar, tindakan, dan kelakuan Kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri dan Umno gagal dalam hampir semua aspek kerana mereka hanya inginkan jawatan hanya untuk kuasa tanpa mempunyai idea dan buah fikiran untuk memajukan negara.

"Oleh yang demikian, pilihan kita hanya satu, turun dan menyambut ulang tahun pertama Ismail Sabri menjadi perdana menteri dengan Himpunan Kerajaan Gagal.

"(Ini) untuk menuntut; pertama, potong gaji menteri, kecilkan kabinet; dan kedua memulangkan gaji dan elaun perdana menteri dan kabinet selama setahun pemerintahan," kata Turun lagi..

Himpunan Turun pada 23 Julai lepas, dihadiri kira-kira 100 orang terdiri daripada mahasiswa, ahli parti politik dan beberapa individu.

Antara pemimpin pembangkang yang hadir himpunan itu ialah Ahli Parlimen Kapar (PKR) Abdullah Sani Abdul Hamid, Ketua AMK (Pemuda PKR), Adam Adli, Adun Ketari (DAP) Young Syefura Othman dan Adun Puteri Wangsa (Muda), Amira Aisya Abdul Aziz.

Polis juga telah memanggil penganjur dan peserta himpunan tersebut untuk disoalsiasat bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

[Baca berita asal]

Lihat Komen