malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kanak-kanak dicampak dari jejambat kian pulih, perlu bedah untuk jalan semula
Diterbitkan:  Aug 12, 2022 5:49 PM
Dikemaskini: 10:49 AM
ADS

Kanak-kanak lelaki yang merupakan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam insiden tragik melibatkan seorang pelarian dengan tiga anaknya pada 2 Ogos lalu, kini menunjukkan tanda-tanda semakin baik.

Kanak-kanak berusia empat tahun itu serta abang dan kakaknya dicampak dari jejambat Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Selayang oleh bapa mereka, yang kemudiannya terjun sehingga mati, menurut polis.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng yang melawat kanak-kanak itu di Hospital Selayang semalam, berkata dia telah dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa.

"Sekarang dia boleh buka mata, cam maknya dan bercakap," kata Lim.

Lim dijemput untuk melawat oleh ibu kanak-kanak itu, yang sebelum ini meminta bantuan untuk membayar bil rawatan anaknya.

Dia mengalami keretakan tulang di bahagian punggung dan perlu pembedahan untuk berjalan semula.

Memandangkan dia bukan warganegara, dia perlu membayar jumlah yang agak besar bagi rawatan di hospital kerajaan.

Justeru, Lim berkata dia komited untuk mencari jalan bagi melunaskan keseluruhan bayaran.

"Saya mendoakan kanak-kanak ini akan sembuh dan memiliki hidup yang baik. Anak kecil seperti ini yang tidak berdosa tidak seharusnya menanggung akibat tindakan orang dewasa.

"Menjadi keutamaan saya untuk memastikan dia selamat dan dapat berjalan semula," katanya lagi.

Alliance of Chin Refugees (ACR) telah merain RM9,000 untuk membayar pengebumian lelaki berusia 38 tahun dan dua anaknya.

Ibu bapa kanak-kanak itu meninggalkan Myanmar dan datang ke Malaysia sepuluh tahun lalu atas sebab keselamatan. Mereka berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian dan sedang menunggu untuk ditempatkan semula.

Aktivis ACR Ai John berkata, bapa kanak-kanak itu berada dalam tekanan kerana gagal mendapat kerja dan dokumen pengenalan daripada UNHCR untuk anak bongsunya.

Katanya, lelaki itu melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik sejak dia tiba di Malaysia tetapi hilang punca pendapatan apabila wabak Covid-19 melanda di awal 2020.

Dia juga menunjukkan tanda-tanda mengalami kemurungan sejak tahun lalu.

Punca yang membawa kepada bunuh diri adalah kompleks dan tidak semestinya boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan mental atau isu lain yang dihadapi mereka yang berbuat demikian.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggap bunuh diri sebagai isu kesihatan awam dan boleh dihalang dengan langkah-langkah awal.

UNHCR berkata pihaknya telah menghubungi keluarga untuk menilai apa yang mereka perlukan.

Mereka yang ingin menyumbang kepada keluarga boleh menghubungi ACR.

Jika anda berasa tertekan atau ingin membunuh diri, atau mengenali seseorang, sila hubungi talian hotline berikut:

Talian Kasih

Talian Utama: 15999

The Befrienders

Hotline: 03-76272929

Pusat Kaunseling Agape Malaysia

Talian Penting: 03-77855955 atau 03-77810800

Persatuan Talian Hidup Malaysia

Hotline: 03-42657995

Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga menyediakan talian sokongan psiko-sosial untuk pekerja barisan hadapan dan lain-lain yang terjejas secara emosi akibat wabak Covid-19.

Mereka boleh dihubungi di 014-3223392, 011-63996482, 011-63994236 atau 03-29359935, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Lihat Komen