malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib: LTAT kroni saya kerana tentera, rakyat kroni saya
Diterbitkan:  Aug 10, 2022 4:56 PM
Dikemaskini: 8:56 AM
ADS

Bekas perdana menteri Najib Razak tampil menjelaskan layanan "istimewa" yang diberikannya kepada kontraktor utama projek kapal tempur pesisir (LCS), Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Kata Najib, hal itu demikian kerana BNS dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan dia menganggap tabung itu sebagai 'kroninya'.

"Sebab BNS bukan kroni sesiapa tetapi milik LTAT. LTAT pula milik setiap anggota tentera.

"Tapi saya anggap LTAT adalah kroni saya sebab anggota tentera dan rakyat adalah kroni saya," katanya di Facebook.

Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching sebelum ini menggesa Najib menjelaskan alasannya ketika menjadi menteri kewangan memberi layanan "istimewa" kepada BNS untuk projek itu.

Memetik contoh, pemimpin DAP itu berkata caj penghantaran lewat bagi setiap LCS dihadkan kepada RM180 juta.

Teo berkata, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyatakan bahawa kerajaan persekutuan berhak menuntut ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) sebanyak RM116.54 juta menjelang 31 Dis 2019 kerana penghantaran LCS pertama sudah lewat 245 hari.

Berdasarkan anggaran kiraan jumlah tersebut sehingga 31 Julai tahun ini, Teo menyatakan LAD itu boleh mencecah RM582.12 juta.

Mengulas kenyataan Teo, Najib berkata dia memberi layanan sedemikian kepada BNS kerana dia mahu Malaysia mempunyai kepakaran dan perkakasan sendiri untuk membina dan menyelenggara kapal perang tempatan tanpa terlalu bergantung kepada kepakaran asing untuk mengukuhkan pertahanan negara.

"Sebab saya mahu LTAT untung dan dividen dan bonus LTAT tetap tinggi mencecah lebih 10% setiap tahun - bukan ciput macam kadar 2% dan 2.5% sebaik sahaja kerajaan PH mengambil alih.

"Sebab hanya BNS satu-satunya sahaja di Malaysia mempunyai dockyard dengan kelengkapan untuk pembinaan kapal TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) selepas mereka mengambil alih, membina dan menyerahkan kapal-kapal NGPV kepada TLDM.

"Jika tak beri projek kepada Boustead serta LTAT, kita beri kepada siapa? Vincent Tan? Syarikat terowong Pulau Pinang? Amin Shah sekali lagi? Ataupun beli terus secara lengkap dari negara lain?" soalnya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berkata dia mahu bakat tempatan mendapat pekerjaan dalam proses itu, dengan pembekal tempatan mendapat peluang perniagaan dan mempelbagaikan keupayaan negara.

"Seperti diulas CEO LTAT semalam, projek LCS di bina di Malaysia membuka peluang kerja teknikal dan kejuruteraan kepada hampir 3000 engineers, lebih 400 vendor tempatan dalam pelbagai bidang yang dengan nilai projek lebih RM4 bilion dan ribuan lagi pekerjaan di syarikat vendor ini,” katanya.

Lihat Komen