malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MIC gantung keahlian anggota serang pengerusi NGO
ADS

MIC menggantung keahlian seorang anggota sayap pemudanya kerana dipercayai mencederakan individu yang membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beberapa pemimpin MIC baru-baru ini.

Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran berkata penggantungan itu diputuskan oleh presiden MIC selepas video rakaman kejadian berkenaan tular di media sosial.

“Justeru Presiden MIC telah menggantung keahlian Jegatheeswaran Sekharan, mengikut Artikel 61.1 Perlembagaan parti MIC kerana perbuatan beliau bertentangan dengan visi dan misi parti.

"MIC sama sekali tidak menyokong mana-mana keganasan di dalam apa jua bentuk dan cara sekalipun," katanya kepada Malaysiakini.

Dia diminta mengulas penahanan individu berkenaan malam tadi bagi membantu siasatan berhubung serangan terhadap Pengerusi Persatuan Harapan India Malaysia (PHIM), Mani Maran Manickam di Kuala Lumpur, semalam.

Ia merupakan serangan kali kedua dilaporkan terhadap Mani Maran.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata mangsa, berusia 42 tahun luka di pergelangan tangan kiri dengan kedalaman tiga sentimeter selepas ditoreh pisau oleh suspek.

Beh berkata suspek yang memiliki tiga rekod jenayah berjaya ditahan tiga jam selepas pihak polis menerima laporan berhubung insiden itu pada 9.17 malam semalam.

Sementara itu, Rajasekaran berkata penggantungan terhadap Jegatheeswaran bukan bermakna dia telah didapati bersalah atas tuduhan terbabit.

"Bagaimanapun MIC terpaksa mengambil tindakan ke atas beliau sekarang, memandangkan video kejadian tersebut telah tular di media sosial.

"Parti MIC khuatir jikalau sebarang tindakan yang tegas tidak diambil, maka ini akan menjadi suatu teladan yang buruk kepada mana-mana pihak.

"Sebarang tindakan parti MIC berikutan perkara ini akan berlandaskan kepada penyiasatan dan tindakan seterusnya oleh pihak polis kelak," katanya.

Mani Maran sebelum ini mengadu kepada SPRM berhubung kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana).

Pada 28 Julai lalu, Malaysiakini melaporkan dia diserang kali pertama oleh seorang individu tidak dikenali di Kajang dan menerima 16 jahitan di tengkuk.

Lihat Komen