malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tubuh PSC siasat 'ladang troll' polis, kata Syed saddiq
Diterbitkan:  Aug 6, 2022 1:09 PM
Dikemaskini: 1:15 PM
ADS

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mesti ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan mengenai "ladang troll" yang dikaitkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Dalam catatan di Facebook hari ini, Syed Saddiq mempersoalkan tindakan polis seterusnya setelah mereka menafikan dakwaan pemilik Facebook, Meta.

"Walaupun PDRM dah nafikan laporan Meta, apa tindakan PDRM seterusnya? Ini adalah data yang sahih dari Meta.

“Dalam dunia ini hanya ada tiga ladang troll dan Malaysia adalah salah satu daripadanya.

“PSC mesti ditubuhkan untuk siasat dakwaan dan aktiviti ini. Ini isu yang serius kerana ini (ladang troll) bukan fungsi PDRM,” kata Syed Saddiq.

Meta, yang memiliki Facebook dan Instagram, mendedahkan dalam laporan pada 4 Ogos lalu bahawa ia mengalih keluar ratusan akaun Facebook dan Instagram, halaman dan kumpulan yang merupakan sebahagian daripada ladang troll yang ditujukan kepada pengguna media sosial di Malaysia.

Ladang troll biasanya merupakan akaun dalam talian yang dibiayai untuk mencemuh atau menyebarkan maklumat mengikut arahan majikan mereka.

Dalam siasatannya, Meta mengaitkan PDRM dengan ladang troll berkenaan.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq tugas polis adalah untuk menjaga keselamatan rakyat dan mempersoalkan perbelanjaan yang digunakan untuk ladang troll berkenaan.

"Lama saya fikir, apa fungsi utama akaun troll ni?

"Akaun troll ni boleh jaga ketenteraman dan keselamatan awam ke?

"Kalau tak ada fungsi jaga ketenteraman dan keselamatan awam, kenapa PDRM perlukan akaun-akaun troll ni?

"Saya tengok ada lagi Macau Scam, LHDN scam, panggilan-panggilan palsu dari Mahkamah kononnya.

"Yang lagi merisaukan, bajet akaun troll datang dari mana? Berapa jumlahnya?” soalnya.

Menurut Meta, laporannya memberikan pemahaman terhadap ancaman global yang telah ditangani gergasi media sosial, termasuk di Malaysia, Russia, Israel, Pakistan, India, Afrika Selatan, Greece dan Filipina.

Ia juga membuang tiga jaringan yang terlibat dalam operasi coordinated inauthentic behaviour (CIB).

Ini termasuk satu jaringan yang dikaitkan dengan satu firma perhubungan awam di Israel, dan dua troll farm berbeza - satu di Malaysia yang menyasarkan audiens tempatan dan satu di Rusia yang menyasarkan perbincangan awam berkenaan perang di Ukraine.

"Di Malaysia, kita telah membuang 596 akaun, 180 laman dan 11 kumpulan di Facebook dan 72 akaun Instagram kerana melanggar dasar kami berkaitan CIB. Jaringan ini berasal di Malaysia dan menyasarkan audiens di negara itu.

"Individu-individu di belakangnya menguruskan satu troll farm - usaha bersepadu untuk menjejaskan atau memanipulasi perbincangan awam dengan menggunakan akaun palsu dan mengelirukan orang ramai berkenaan siapa di belakangnya.

"Mereka aktif merentasi internet, termasuk di Facebook, TikTok, Twitter dan Instagram, dan membuat hantaran meme dalam bahasa Melayu yang menyokong gabungan kerajaan sekarang...," menurut laporan itu.

"Di Facebook, jaringan ini mengendalikan laman-laman, termasuk yang menyamar sebagai entiti berita bebas, menonjolkan (promote) polis dan mengkritik pembangkang.

"Kami dapati jaringan ini selepas menyemak maklumat berkenaan sebahagian kecil aktiviti ini, yang pada mulanya disyaki berasal di China oleh penyelidik di Clemson University. Walapun pihak di belakangnya berusaha menutup identiti dan koordinasi mereka, siasatan kami mendapati ada kaitan dengan PDRM," menurut laporan itu lagi.

Laporan itu menyatakan kira-kira 427,000 akaun mengikuti sekurang-kurangnya satu laman tersebut, sementara kira-kira 4,000 akaun mengikuti sekurang-kurangnya satu kumpulan, dan 15,000 akaun mengikut akaun di Instagram.

"Kira-kira AS$6,000 (sekitar RM26,741) dibelanjakan untuk iklan di Facebook dan Instagram," kata laporan itu lagi.

Polis telah menafikan dakwaan Meta dan memandang serius terhadap dakwaan berkenaan.

Lihat Komen