malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Empat Adun boleh jalankan tugas seperti biasa - ketua menteri
ADS

Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang pada 2020 masih boleh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat seperti biasa di kawasan masing-masing.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata mereka kekal sebagai wakil rakyat sehingga keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengenai saman pemula yang difailkan mereka terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan Speaker DUN.

"Semestinya selagi keputusan tidak dibuat oleh Mahkamah Tinggi, kesemua ADUN tersebut masih boleh melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing.

“Mereka juga masih menerima faedah dan gaji seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembesaran Hospital Pantai di Bayan Baru, dekat George Town, hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai cadangan Pengerusi DAP Lim Guan Eng agar satu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas tergempar diadakan bagi menentukan status kerusi dua bekas ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipecat daripada parti tersebut, Chow berkata kerajaan negeri akan membuat keputusan berhubung perkara itu selepas keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau juga berkata setakat ini tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Empat ADUN terlibat iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang)

telah memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan PRK diadakan.

Pada 12 April lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan DUN Pulau Pinang dan Speakernya untuk merujuk beberapa persoalan kepada Mahkamah Persekutuan bagi mendengar serta memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c)

Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan berpersatuan.

Pada 3 Ogos lepas (Rabu), panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Panel itu turut mengarahkan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk mendengar saman pemula itu.

-Bernama

Lihat Komen