malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jalan runtuh, PKR Sarawak gesa periksa kualiti
Diterbitkan:  Aug 6, 2022 10:38 AM
Dikemaskini: 10:38 AM
ADS

Sebahagian jalan yang menghubungkan Lebuhraya Pan Borneo di daerah Belaga, Sarawak, runtuh akibat hujan lebat, mengakibatkan penduduk terputus hubungan dengan pekan berhampiran iaitu Kapit.

Susulan itu Ketua Penerangan PKR Sarawak Abun Sui Anyit menggesa pemeriksaan terhadap kualiti Lebuhraya Pan Borneo dan pembetung sedia ada di kawasan berkenaan bagi memastikan ia mampu menahan air pada musim hujan.

Sui berkata jalan pengantara di Murum agak baru dan hanya digunakan kurang daripada sepuluh tahun sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia dibina mengikut kualiti dan spesifikasi yang betul.

"Apa yang menghairankan adalah pembetung yang terdapat di kawasan berkenaan kelihatan kecil berbanding sungai yang wujud di situ.

"Memang keadaan ini perlu dipertikai kerana tidak berfungsi dengan baik terutamanya apabila banyak hampas dari kawasan hutan di bahagian hulu yang mengalir semasa musim hujan dan banjir di mana pembetung tersebut tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak hingga melimpah ke jalan raya dan menyebabkan jalan tersebut terputus.

"Walaupun jalan ini agak baru dan digunakan belum sampai sepuluh tahun tetapi sudah terputus seperti yang telah berlaku ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam video yang dikongsinya, air dilihat melimpah ke atas jalan yang mengalami runtuhan itu.

Tidak jelas bilakah jalan itu runtuh tetapi Jabatan Kerja Raya (JKR) Kapit memaklumkan ia berpunca daripada hujan lebat yang bermula semalam.

Antara kawasan penempatan yang terjejas ialah Long Wat, Long Malim Penan, Long Malim Kenyah, Long Magan dan Long Lawen di Tegulang.

Selain itu Long Peran, Long Menapa, Long Luar, Long Tangau, Long Singu di kawasan Metalun turut terjejas.

Tambah Sui, ladang kelapa sawit juga bergantung kepada jalan yang terjejas di Murum.

Bagaimanapun, lencongan jalan sementara telah diwujudkan untuk penduduk tempatan yang mahu pergi ke dua-dua belah kawasan yang terjejas.

Jabatan Kerja Raya Kapit juga telah mengeluarkan notis memaklumkan penutupan sementara jalan itu dan akan memaklumkan pembukaan semula jalan itu selepas kerja pembaikan selesai.

"Kerja baik pulih sedang dijalankan bagi memastikan jalan itu dapat digunakan semula oleh orang ramai.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda dan arahan keselamatan yang disediakan di sekitar kawasan itu,” katanya.

Lihat Komen