malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR desak menteri jelaskan kelulusan dana Mitra pada yayasan tak aktif
Diterbitkan:  Aug 6, 2022 9:53 AM
Dikemaskini: 12:13 PM
ADS

Naib Presiden PKR, K Saraswathy mendesak Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique menjelaskan kelulusan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) kepada sebuah yayasan berstatus dorman (tidak aktif).

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab menteri menjelaskan proses atau kriteria kelulusan dana Mitra walaupun bekas pengarah yayasan itu telah didakwa di mahkamah atas 11 pertuduhan salah guna dana.

"Pertuduhan terhadap (bekas) Pengarah Yayasan Kemajuan India Wilayah Persekutuan (WP) pada 1 Ogos 2022 menimbulkan pelbagai persoalan terhadap proses kelulusan dana Mitra, agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

"Semakan menunjukkan yayasan tersebut tidak mempunyai suatu alamat perniagaan. Laporan akaun tahunan yang terakhir dikemukakan kepada SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) adalah bagi tahun kewangan 2016. Itupun selepas SSM mengeluarkan notis pembatalan yayasan kerana tidak menjalankan perniagaan ataupun tidak beroperasi.

"Pendek kata yayasan tersebut adalah suatu syarikat dorman yang tiada sebarang operasi untuk sekurang-kurangnya lima tahun yang lalu.

"Maka pengurusan Mitra dan Halimah harus tampil dan memberi penjelasan yang telus dan mengakui kelemahan mereka dalam mengurus dan menerajui dana terbabit," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 1 Ogos, Pengarah Yayasan Kemajuan India Wilayah Persekutuan, M Govindarajoo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah atas 11 pertuduhan menyalahgunakan wang milik yayasan berkenaan yang keseluruhannya berjumlah RM86,000.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun atau sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Govindarajoo mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan pilihan melibatkan kesalahan yang dilakukan di tarikh, tempat dan masa yang sama.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Saraswathy juga mendakwa namaGovindarajoo telah dibatalkan daripada daftar peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya pada tahun 2019 kerana menyembunyikan fakta bahawa dia telah diisytiharkan muflis sejak tahun 2005.

"Sehingga hujung tahun 2020 beliau masih adalah seorang muflis.

"Dalam keadaan yayasan tersebut yang berkedudukan dorman dan pengarahnya mempunyai latar belakang yang meragukan, maka Yayasan tersebut jelas tidak layak menerima apa-apa dana kerajaan.

"Apakah asas bagi Mitra memluluskan dana kepada Yayasan tersebut? Adakah sebarang campur tangan politik dalam kelulusan ini? Perkara ini harus dijawab oleh Mitra," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat kementerian dan Mitra untuk mendapatkan komen.

Lihat Komen