malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes kapal tempur LCS di peringkat akhir siasatan - KP SPRM
Diterbitkan:  Aug 6, 2022 8:20 AM
Dikemaskini: 8:21 AM
ADS

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki enggan mengulas lanjut berhubung siasatan projek pembinaan enam kapal tempur (LCS) bernilai RM9 bilion.

Katanya, keputusan mengenai hasil siasatan yang dijalankan SPRM akan diumumkan dalam masa terdekat nanti.

Azam dipetik BH Online berkata dia perlu menjaga sensitiviti siasatan dan kerahsiaan kes berkenaan.

"Saya akan maklum kemudian apabila bersedia membuat pengumuman.

Gambar hiasan, kapal tempur LCS.

"Saya sudah pernah memberi kenyataan sebelum ini (mengenai siasatan). Saya kena menjaga sensitiviti hal penyiasatan dan kerahsiaan kes ini kerana ia bukan sahaja membabitkan SPRM tapi juga Jabatan Peguam Negara dan sebagainya.

"Sebab itu, saya kena pastikan perkara ini diambil kira dahulu," katanya.

Sementara itu, Azam berkata siasatan mengenai LCS sudah bermula sejak beberapa tahun lalu dan kini diperingkat akhir.

"Ada pihak seolah-olah menggambarkan yang siasatan masih dijalankan dan menggesa SPRM untuk menyiasat.

"Sudah banyak kali saya katakan, kita sedang menyiasat dan peringkat akhir penyiasatan, jadi peringkat ini saya tak mahu komen dulu," katanya.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak SPRM supaya menyelesaikan segera siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur LCS susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan pada Khamis lalu.

Dalam laporan yang dibentangkan itu, PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan kapal berkenaan.

Antaranya, laporan itu menyebut kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima, setakat ini.

Lihat Komen