malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hujan berterusan: Jawatankuasa pengurusan bencana di Sabah, Sarawak diaktifkan
ADS

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri serta Daerah di Sabah dan Sarawak telah diaktifkan, dan diarahkan supaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan, susulan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi catatan di Facebook memaklumkan arahan itu dikeluarkan susulan Amaran Hujan Berterusan Waspada (Kuning) dikeluarkan MET Malaysia untuk beberapa kawasan di Sarawak iaitu Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Bintulu (Tatau dan Bintulu), Miri (Subis, Miri dan Marudi) dan Limbang.

Amaran yang dikeluarkan pada pukul 11 malam tadi turut melibatkan Labuan serta beberapa kawasan di Sabah iaitu Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat dan Kudat.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah telah diarah untuk diaktifkan, dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana terutama di kawasan yang berisiko tinggi.

“NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal,” menurut catatan itu.

- Bernama

Lihat Komen