malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Makin kami bekerja, makin turun kadar gaji kami'
ADS

Sekumpulan penghantar makanan mendakwa mereka dibayar gaji yang tidak adil dan pendapatan mereka menyusut.

Dakwaan itu dibuat pada sidang media mogok 'Food Delivery Blackout' yang berlangsung hari ini.

Salah seorang daripada mereka, Boo (bukan nama sebenar), kesal kerana pendapatannya yang menurutnya berkurang lebih separuh berbanding sebelum ini.

"Dengan jujur kata, kalau dulu pagi sampai tengah hari dalam RM100 boleh dapat. Masa PKP dalam RM100 boleh dapat setengah hari (pagi sampai tengah hari).

"Sekarang, nak menangis pun ada. Setengah hari RM40 pun tak sampai," katanya.

Dia juga mendakwa bahawa penunggang yang menerima tempahan dua kali ganda dari restoran yang sama kepada dua pelanggan berbeza sebelum ini memperoleh gaji penuh untuk kedua-dua pesanan, tetapi ia tidak lagi berlaku ketika ini.

“Sebagai contoh, jika mendapat tempahan berganda, sebelum ini boleh mendapat RM12 atau RM16 untuk dua tempahan, tetapi kini ada penunggang hanya mendapat RM8 untuk dua tempahan walaupun penghantaran agak jauh.

“Kemudian mereka mengurangkan kadar setiap kilometer tanpa notis. Baru-baru ini mereka berkata ia adalah isu teknikal, tetapi alasan yang sama berulang lagi: 'kesilapan teknikal'," katanya.

Selain itu, Boo mendakwa terdapat percanggahan antara perkhidmatan navigasi Grab dan aplikasi navigasi popular seperti Peta Google dan Waze.

“Pernah ada peta menunjukkan (laluan) adalah 15km, tetapi peta (Grab) mungkin menunjukkan ia adalah 12km dan mungkin kurang.

“Mereka juga akan mengira berdasarkan jalan pintas, tetapi tidak semua jalan pintas boleh digunakan. Ada yang tidak boleh dilalui,” katanya.

Mohd Firdaus, seorang lagi penunggang p-hailing, berkata isu ini telah dibangkitkan sejak Julai 2020 apabila mereka menghantar memorandum kepada Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Namun, menurutnya, masalah itu masih belum selesai malah semakin teruk.

"Ini unik sebagai kerja p-hailing ni - makin kami bekerja, makin turun harga gaji kami.

"Dulu boleh 10 pesanan RM90, tapi sekarang sembilan pesanan jadi RM50," katanya.

Dia turut menyuarakan kekecewaan kerana walaupun terdapat inflasi, syarikat p-hailing terus memotong gaji mereka.

Selain itu, penunggang perlu membayar insurans dan membuat caruman KWSP daripada poket mereka sendiri.

Penunggang lain pada sidang akhbar itu mengadu bahawa mereka sering dihukum oleh platform p-hailing apabila pelanggan membuat aduan, tanpa penjelasan mereka diambil kira.

Mereka berkata syarikat p-hailing menganggap mereka sebagai rakan kongsi 'yang boleh dikorbankan' kerana akan sentiasa ada penunggang baru menyertai industri.

Turut hadir pada sidang media di ibu pejabat PKR itu ialah Ketua Pemuda (AMK) parti itu Adam Adli, timbalan ketua pemuda Kamil Munim dan pengarah strategik Pemuda PKR Bryan Ng Yiih Min.

Alasan berulang

Adam menyamakan kesusahan penunggang p-hailing dengan "perhambaan moden" kerana menurutnya kerajaan mahupun platform p-hailing tidak mempunyai undang-undang atau peraturan yang jelas untuk melindungi mereka.

“Isu ini telah diperjuangkan selama tiga hingga empat tahun dan telah dibawa kepada banyak parti politik, kerajaan, dan NGO; tetapi ia masih belum mencapai sebarang resolusi.

“Kami menggesa kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia mengambil langkah serius dan tidak hanya memberikan 'Panadol' atau 'gula-gula'.

“Kami juga menolak respons Grab yang mendakwa ini sebagai isu teknikal. Seperti yang disebut oleh penunggang, alasan ini digunakan oleh syarikat berkali-kali,” katanya.

Sementara itu, Ng menggesa kerajaan meminda Akta Pekerjaan 1955 supaya penunggang p-hailing akan diiktiraf bukan sebagai "rakan kongsi" atau "pekerja bebas" tetapi sebagai pekerja.

“Penunggang perlu memakai pakaian seragam dan beg syarikat semasa menghantar makanan, mematuhi waktu kerja minimum, namun mereka tidak boleh merundingkan kadar gaji mereka dengan syarikat.

"Ia menunjukkan bahawa syarikat p-hailing mempunyai kawalan penuh ke atas penunggang dan terdapat kes serupa di UK di mana mahkamah memutuskan bahawa penunggang haruslah dianggap sebagai pekerja," kata Bryan.

Walaupun syarikat p-hailing pada mulanya digembar-gemburkan sebagai cara orang ramai memperoleh pendapatan sampingan, Kamil berkata mereka kini ia telah menjadi sektor ekonomi besar yang mengaut keuntungan besar.

Justeru, dia berkata syarikat-syarikat ini harus menyediakan perlindungan yang sewajarnya kepada penunggang yang telah membantu perniagaan mereka berkembang.

Hari ini, penunggang p-hailing dari pelbagai platform mengadakan mogok 24 jam di seluruh negara sejak tengah malam semalam untuk membantah kadar gaji yang menurut mereka tidak adil.

Sekumpulan kira-kira 100 penunggang turut berkumpul di beberapa lokasi di Lembah Klang hari ini pada pukul 4 petang sebelum bergerak ke ibu pejabat Grab di Petaling Jaya untuk menyerahkan memorandum.

Penunjuk perasaan ‘Food Delivery Blackout’ menggesa Grab menilai kadar bayaran mengikut jarak pengambilan dan penghantaran.

Grab mengeluarkan kenyataan semalam mengatakan pengurangan pendapatan yang dihadapi oleh "sekumpulan kecil" rakan kongsi penghantaran mereka bulan lepas adalah disebabkan oleh masalah teknikal yang telah diperbetulkan. Ia berkata ia komited untuk menyokong komuniti rakan kongsi penghantarannya.

Lihat Komen