Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim juga patut menuding jarinya kepada bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Ismail selepas dia membayangkan Dr Mahathir Mohamad gagal membantu orang Melayu sepanjang 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan.
Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan berkata demikian dalam mengulas kenyataan Anwar yang dikatakan bersikap emosional terhadap pembentukan Gerakan Tanah Air (GTA) oleh Mahathir semalam.
"Anwar Ibrahim juga jangan lupa ketika Dr Mahathir Mohamad memimpin kerajaan PH selama 22 bulan dahulu; Dr Wan Azizah Wan Ismail menjawat jawatan timbalan perdana menteri.
"Kalau Anwar Ibrahim berkata Dr Mahathir Mohamad gagal maka ini bermakna isteri beliau juga gagal dan seluruh pemimpin-pemimpin Melayu Pakatan Harapan turut gagal, termasuk dirinya sendiri selaku pemimpun utama parti gabungan dalam kerajaan PH," katanya.
Khairuddin berkata Anwar 'cemburu' dengan kemampuan Mahathir.
"Presiden PKR ini otak beliau berada di lutut bukan di tempurung kepalanya,
"Apa yang Anwar Ibrahim sumbang kepada orang-orang Melayu ketika menjadi timbalan perdana menteri dahulu?
"(Dia) tidak pernah meninggalkan sebarang legasi..."
"Selagi Anwar Ibrahim berada dalam lanskap politik tanah air maka selagi itulah politik negara akan menjadi huru-hara," katanya.
Khairuddin berkata Mahathir telah "membina satu tamadun di Putrajaya" dan bekas perdana menteri dua kali itu menjadi lambang kejayaan Melayu sehingga ke hari ini.
"Kebajikan orang-orang Melayu dari peringkat bawah hingga ke atas amat terpelihara di bawah era kepimpinan emas Dr Mahathir Mohamad.
"Maruah Melayu berada di tahap yang paling tinggi ketika Dr Mahathir mentadbir negara," pujinya.
Anwar, yang menolak penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) oleh Mahathir, sebuah kumpulan politik longgar yang bertujuan untuk memerangi Umno dan membantu orang Melayu.
Dia berkata Mahathir sudah mempunyai 22 bulan untuk membantu masyarakat Melayu-Islam semasa era Pakatan Harapan.
Gerakan politik itu disokong oleh empat parti politik - iaitu, Pejuang, Putra, Berjasa dan Iman.