malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pekerja kilang cedera ditikam dalam pergaduhan di Kulai
Diterbitkan:  Aug 3, 2022 4:26 PM
Dikemaskini: 8:26 AM
ADS

Seorang pekerja kilang warga Indonesia cedera akibat ditikam dalam pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di hadapan kilang di Kawasan Perindustrian Senai Fasa 3, dekat Kulai, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditikam di bahagian belakang badan dalam kejadian pada 8.30 pagi berkenaan.

Beliau berkata susulan itu sepasukan pegawai dan anggotanya daripada Bahagian Risikan dan Operasi dibantu Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Senai melakukan serbuan keesokan hari pada 12.05 tengah malam di sekitar Senai, dan menahan 11 individu terdiri daripada warga Indonesia dan Pakistan, berusia 22 hingga 33 tahun yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu.

“Hasil siasatan mendapati kesemua individu itu merupakan pekerja kilang elektronik. Pergaduhan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham semasa mereka berada di dalam kilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas sebilah pisau di lokasi kejadian dan mangsa berada dalam keadaan stabil di Hospital Sultanah Aminah, di Johor Bahru.

Tok berkata kesemua individu yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu direman hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, tular menerusi media sosial sebuah video berdurasi satu minit 26 saat yang memaparkan sekumpulan individu bergaduh dipercayai di kawasan kilang.

Rakaman itu turut memaparkan seorang individu terbaring dengan kesan darah di bahagian belakang badannya sebelum dibantu dan dipapah oleh beberapa individu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen