malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Haris Ibrahim kembali jadi peguam demi pertahan Malaysia 'sekular'
Diterbitkan:  Jul 28, 2022 12:03 PM
Dikemaskini: 5:24 AM
ADS

Aktivis Haris Ibrahim kembali menjadi seorang peguam, meskipun bertarung dengan kanser paru-paru tahap 4, kerana ingin membawa mesej bahawa Malaysia sepatutnya menjadi sebuah negara sekular.

Dia akan menyertai firma Ashok Kandiah dan rakan-rakan, yang kini akan dikenali sebagai Haris Ibrahim Kandiah dan rakan-rakan.

Haris berkata kesihatannya dan rawatan perubatan yang diperlukan mungkin tidak membolehkannya mengembara ke seluruh negara untuk menyebarkan dua mesej utama itu yang menurutnya penting demi untuk menyelamatkan negara.

“Pertama ialah sejarah kita secara nyata membuktikan bahawa kita, orang Malaya, sepatutnya menjadi satu bangsa, semuanya sama rata. Pembentukan Malaysia tidak mengubah semua ini.

“Mesej kedua, sekali lagi berdasarkan sejarah kita, ialah Tanah Melayu sepatutnya menjadi sebuah negara sekular. Sekali lagi, pembentukan Malaysia tidak mengubah semua ini.

"Saya membayangkan dua platform yang akan membolehkan saya, walaupun saya sedang bertarung melawan kanser, untuk menyampaikan mesej ini ke akar umbi.

“Pertama, saluran video YouTube yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Kedua, mahkamah kita. Justeru, saya membuat keputusan saya mengamalkan undang-undang semula,” kata Haris dalam satu catatan di akaun Facebooknya semalam.

Sepanjang tempoh 10 tahun terakhir menjalankan tugasnya sebagai peguam, sehingga 2010, Haris berkata dia terlibat dalam banyak kes yang membabitkan soal kebebasan beragama dan bidang kuasa mahkamah sivil dan Syariah.

Semasa mengendalikan kes-kes berkenaan, katanya, dia mendapat gambaran tentang apa yang dirinya rasakan sebagai "usaha mereka di pejabat tertinggi untuk menjejaskan sistem sekular” yang sepatutnya dilaksanakan di Malaysia.

Dia merujuk kepada kes ibu tunggal Loh Siew Hong, yang tiga anaknya diIslamkan secara unilateral atau sepihak oleh bekas suaminya.

Cabaran yang dihadapi oleh Loh dalam mendapatkan semula hak penjagaan anak-anaknya selepas penukaran agama mereka membuktikan bahawa percubaan atau usaha untuk "menggugat" sistem sekular dilakukan secara berterusan dan tanpa henti, kata Haris.

“Kaum dan agama telah lama dimanipulasi sebagai platform untuk memecahbelahkan kita sebagai rakyat demi mengekalkan kuasa Umno/BN.

“Sebagai rakyat, kita mesti bersatu dan menentang sebarang dan semua usaha ahli politik untuk memecahbelahkan kita, terutamanya ketika kita menghadapi kemungkinan pilihan raya umum ke-15 tidak lama lagi,” katanya.

Haris pertama kali disahkan menghidapi barah paru-paru tahap 4 pada awal April dan diberitahu dia mungkin hanya mempunyai masa sehingga tiga bulan untuk hidup sekiranya tidak menjalani rawatan.

Haris juga adalah pengasas pergerakan ‘Asalkan Bukan Umno’ dan dia menulis di blog, ‘The People’s Parliament’ atau ‘Parlimen Rakyat’.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen