malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anak buah Dr M: 'Saya tinggalkan UKSB pada 2018, pulangkan wang'
Diterbitkan:  Jul 27, 2022 8:59 PM
Dikemaskini: 1:50 PM
ADS

Rahmat Abu Bakar yang merupakan anak saudara kepada Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan bahawa dia menerima derma politik daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) bagi pihak bekas perdana menteri itu.

Sebaliknya, Rahmat berkata dia memutuskan hubungan dengan UKSB selepas menyedari syarikat itu bermasalah dan telah memulangkan wang yang diterimanya sebagai pengerusi dan penasihatnya.

Dia berkata demikian selepas bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun memberi keterangan di mahkamah bahawa syarikat itu telah membayar RM2.6 juta sebagai dana politik kepada Mahathir dan Bersatu, melalui Rahmat.

Bagaimanapun, Rahmat berkata dakwaan Tan berunsur "fitnah, palsu dan berniat jahat”, selain dia tidak pernah menerima wang sebanyak itu daripada UKSB.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rahmat berkata dia dilantik sebagai pengerusi dan penasihat UKSB pada 13 Julai 2018.

Atas kapasiti itu, katanya, dia dijanjikan imbuhan RM1.3 juta sebulan dan ditawarkan 50 peratus saham syarikat itu.

"Saya dijanji imbuhan sebanyak RM1.3 juta sebulan sebagai pengerusi dan penasihat. Inilah bayaran yang saya terima dalam bentuk wang tunai. Kemudian saya telah kembalikan wang tunai ini kepada UKSB kerana khuatir dengan asasnya," katanya.

Rahmat berkata dia meletakkan jawatannya di UKSB pada 14 Nov 2018 setelah mendapat nasihat Abu Kassim Mohamed yang ketika itu menjawat Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Negara.

"Saya akur pada nasihat tersebut berdasar kepada maklumat bahawa UKSB ini merupakan syarikat bermasalah. Terkait dengan UKSB akan mendatangkan lebih mudarat.

“Saya juga telah batalkan niat untuk ambil alih apa jua kepentingan di dalam syarikat tersebut.

"Kesemua tindakan yang saya ambil tercatit di dalam surat-menyurat di antara saya dengan pihak-pihak berkaitan.

"Ini berbeza dengan kenyataan yang dibuat David Tan Siong Sun yang bersandar kepada buku ledger yang merupakan rekod pengurusan UKSB dan tidak ada bukti surat ataupun dokumen.

"Oleh itu, sekali lagi saya tegaskan bahawa kenyataan berkenaan sumbangan politik berjumlah RM2.6 juta adalah palsu, fitnah dan berniat jahat.

"Tun Dr Mahathir tidak terlibat dan tidak tahu tentang kaitan saya dengan UKSB. Jika tuduhan palsu ini tidak ditarik balik oleh David Tan Siong Sun, saya akan ambil tindakan yang sewajarnya," katanya, tanpa menyatakan tindakan yang akan diambil.

Tan memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah melibatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Sistem Visa Luar Negara (VLN) di mana dia mendedahkan derma politik UKSB yang didakwa disalurkan kepada Mahathir melalui Rahmat.

Menurut Tan, Rahmat diberi nama kod “Kedahan” dalam lejar rahsia UKSB, namun mengatakan dia tidak melihat secara peribadi wang itu diserahkan kepada Rahmat.

Mahathir juga menafikan dakwaan itu dan mengatakan dia tidak menerima sebarang wang dan saksi berkenaan harus menunjukkan bukti untuk menyokong dakwaannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen