malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ECK tidak lagi terlibat projek lapangan terbang Kulim - MB Kedah
Diterbitkan:  Jul 13, 2022 6:21 PM
Dikemaskini: 10:21 AM
ADS

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini mengesahkan bahawa ECK Group of Companies (ECK) tidak lagi terbabit dalam usaha sama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Mukim Sidam Kiri di daerah Kuala Muda.

Beliau berkata usaha sama itu telah ditamatkan pada Mei lepas&nbsp;selepas syarikat tersebut gagal mematuhi syarat perjanjian ditetapkan termasuk membuat pembayaran deposit pengambilan tanah sebanyak 125 peratus daripada anggarannya&nbsp;yang berjumlah RM2.1 bilion.</p>

"Ya, (ECK tidak lagi terlibat dalam KXP)...usaha sama itu telah ditamatkan pada Mei lepas sebab ia tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang dipersetujui dalam perjanjian usaha sama.

"Asas projek itu adalah pengambilan tanah. Apabila pengambilan tanah tidak dapat dibuat, jadi projek itu tidak dapat dijalankan.

"Kita bukannya nak hentikan projek itu, (tapi) kita cari orang (syarikat) lain pula," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Kulim Smart Parking di ALor Setar, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata terdapat lapan syarikat yang telah menyatakan hasrat untuk menyertai kerajaan negeri dalam usaha itu dan dilihat mempunyai kekuatan bagi pembangunan projek yang dilaksanakan menerusi pendekatan inisiatif kewangan swasta (PFI).

Namun, beliau menegaskan bahawa KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd yang juga anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan bertanggungjawab mengendalikan pembangunan projek itu akan membuat penilaian ketekunan wajar (due diligence) sebelum melantik mana-mana syarikat yang layak.

"Kita akan mengadakan proses pemilihan syarikat yang paling meyakinkan kerana ini melibatkan pelaburan yang besar," katanya.

Pada Ogos 2021, kerajaan negeri Kedah menandatangani perjanjian usaha sama dengan ECK dan melibatkan penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) bagi membangunkan KXP yang dijadual siap pada 2026 selain turut terbabit dalam projek Kedah Aerotropolis dan Airport City.

- Bernama

Lihat Komen