Seorang saksi pendakwaan dalam kes dakwaan penyelewengan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui bahawa dia bersetuju untuk memberi keterangan ke atas tertuduh kerana takut SPRM akan mendakwanya di mahkamah untuk kes lain.
Abdul Hanan Khairi, 29, yang adalah anggota Pemuda Bersatu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela Saddiq, Gobind Singh Deo.
Gobind: Berapa kali keseluruhannya kamu ke pejabat SPRM untuk emberi keterangan berkenaan kes ini?
Hanan: Saya tidak ingat
Gobind: Banyak kali?
Hanan: Memang banyak.
Gobind: Apakah perasaan kamu. adakah masa itu kamu rasa takut?
Hanan: Takut.
Gobind: Takut kenapa? Kerana pihak SPRM ada tanya kamu berkenaan kes-kes lain juga. Betul?
Hanan: Saya tidak pasti.
Gobind: Fikir baik-baik sebelum jawab. Kamu takut ni kerana SPRM ada tanya kamu kes-kes lain juga. Betul?
Hanan: Ya.
Gobind: Dan kamu takut dituduh untuk kes-kes tersebut. Betul?
Hanan: Ya.

Gobind: Jadi kamu rela berikan keterangan di atas (terhadap Syed Saddiq) untuk balasan kamu tak dituduh untuk kes-kes tersebut.
Hanan: Tidak.
Gobind: Tell the truth (Beritahu perkara sebenar). Sebenarnya kamu setuju jadi saksi, beri pembohongan terhadap Syed Saddiq kerana kamu takut dituduh kes lain. This is a court. You can say it. (Ini mahkamah. Kamu boleh mengatakannya).
Hanan: Yang Arif, boleh saya ke toilet (tandas) dulu?
Hakim Azhar Abdul Hamid: Jawab dahulu soalan.
Hanan: Ya.
Selepas Hannaan menjawab soalan itu, Gobind kemudian meminta saksi tersebut tidak membincangkan mengenai kes berkenaan ketika dia ke tandas.

