Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah meminta campur tangan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berhubung tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis pengusiran terhadap projek Kebun Bangsar, di Kuala Lumpur.
Maria mendakwa projek yang merupakan inisiatif Pusat Komuniti Kebun-Kebun Bangsar itu mendapat kebenaran daripada penduduk sekitar dan selaras dengan matlamat kerajaan dalam menyediakan pembangunan mampan dan melestarikan alam sekitar.
Lebih-lebih lagi, katanya perdana menteri sendiri memuji projek itu dan projek serupa di Kerinchi, pada 5 Jun lalu.
"Adalah ironi apabila notis pengusiran itu dihantar beberapa minggu selepas Ismail Sabri mengiktiraf ladang itu dalam ucapan hari alam sekitar sedunia.
“Ini tidak selaras dengan komitmen Malaysia untuk menyelamatkan alam sekitar,” kata Chin dalam satu kenyataan.

Maria menyifatkan Kebun Bangsar sebagai pembuat perubahan (Change maker) di Lembah Klang kerana mendidik orang ramai untuk mengusahakan tanaman mereka sendiri.
"Lembah Klang ketandusan kehijauan kerana memberi laluan kepada pembangunan besar-besaran. Kebun ini adalah antara beberapa tempat yang telah memelihara dan melestarikan kehijauan.
"Kita sepatutnya mempromosikan lebih banyak pertanian di bandar dan bukannya mencari jalan untuk mengusir mereka. Terutama dalam krisis makanan yang kita hadapi sekarang, perlu ada lebih banyak langkah untuk menangani perkara ini, seperti mempromosikan pertanian bandar," katanya.

Kebun Bangsar diusahakan atas sebidang tanah bersaiz kecil di bawah kabel talian kuasa voltan tinggi dan tidak jauh dari sebuah kawasan perumahan mewah.
DBKL menyerahkan notis pengusiran pada 27 Jun, lima tahun selepas kebun itu - yang diasaskan oleh arkitek Ng Sek San - beroperasi dengan lesen pendudukan sementara (TOL).
Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Muhammad Yasir Yahya menjelaskann notis pengusiran dikeluarkan kerana TOL yang diberikan adalah untuk tapak semaian dan kawasan itu mengandungi struktur kekal, yang melanggar syarat lesen
Yasir menambah, pejabatnya juga telah menerima aduan mengenai "kacau ganggu" yang disebabkan oleh haiwan ternakan.

