malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Razlan sifatkan Tajuddin emosi lepas dipecat dari MT Umno
ADS

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii mempersoalkan mengapa sekarang Tajuddin Abdul Rahman mendakwa bahawa parti itu pernah memujuk presidennya, Ahmad Zahid Hamidi supaya berundur.

Razlan menyifatkan dakwaan Ahli Parlimen Pasir Salak itu dibuat dalam keadaan emosi selepas dirinya digugurkan daripada MKT baru-baru ini.

“Iyalah, itu adalah dakwaan yang berunsur emosi. Sepatutnya benda tu dibangkitkan semasa beliau menjadi ahli MKT, peristiwa tu dah dua tahun, kita pun tak tahu kesahihan berita tu betul ke tak.

“Tapi yang asasnya, yang kita tahu dalam empat tahun ini ada banyak peristiwa yang terjadi dalam Umno tapi Umno dapat mengatasinya dengan kita cipta kemenangan demi kemenangan (Dalam peilihan raya negeri),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, Tajuddin dalam sidang medianya hari ini mendakwa sekumpulan pemimpin kanan dan berpengaruh dalam Umno dikatakan berkumpul untuk mencari kesepakatan bagi mendesak Zahid berundur secara baik seawal 2020.

Namun katanya, usaha berkenaan gagal selepas Timbalan Presiden Mohamad Hasan dikatakan "membelot" ketetapan tersebut. Ini selepas Mohamad didakwa digertak oleh pegawai kanan Zahid.

Menurut Tajuddin, selain Mohamad, antara pemimpin yang turut hadir ialah bekas perdana menteri Najib Razak dan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin.

‘Perkara lapuk diulang semula’

Mengulas lanjut, Razlan menolak dakwaan bekas pengerusi Prasarana itu akan mencetuskan perpecahan dalaman Umno, sambil menyamakan situasi yang sedang berlaku sama seperti ketika Annuar Musa dipecat sebagai setiausaha agung BN pada Januari tahun lalu.

“Macam-macamlah Umno hadapi sepanjang empat tahun ni.

“Saya tak mengiyakan, cuma kalau kita nak layan orang yang merajuk, ada banyaklah benda yang dia nak cakap, benda betul ke tak betul kita tak tahu,” katanya apabila diminta pengesahan dakwaan tersebut.

“Patutnya beliau (Tajuddin) kena lihat benda yang lebih besar nak hadapi pilihan raya, patutnya tak payah bangkit-bangkitkan isu tapi buat kerja macam biasa,” katanya.

Sementara itu, dia turut mengenepikan dakwaan Tajuddin dalam sidang media yang sama berhubung kewujudan akuan bersumpah (SD) daripada ahli parlimen Umno untuk menyokong Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Itu pun perkara lapuk sebab ia telah dibawa oleh mantan setiausaha agung Tan Sri Annuar Musa. Perkara tu perkara lapuk dan berulang serta sepatutnya benda

tak timbul pun sebab dah dibangkitkan semasa apa yang terjadi pada Tan Sri Annuar Musa,” katanya.

Lihat Komen