Bagi Nazri Abdul Aziz, tidak pelik untuk Ismail Sabri memakai pakaian mahal atau berjenama kerana sentiasa menerima hadiah selaku perdana menteri.
Ahli parlimen Padang Rengas itu mengulas kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang mengkritik Ismail yang memakai pakaian mahal di saat ramai rakyat Malaysia biasa bergelut untuk memenuhi keperluan hidup.
"Perdana menteri pakai baju mahal atau berjenama ini bukan pelik kerana berdasarkan pengalaman saya semasa menjadi menteri sebelum ini, ramai yang menghadiahkan perdana menteri pakaian dan barangan lain yang berjenama dan mahal.
"Fahmi boleh tanya bos dia, Anwar Ibrahim masa jadi timbalan perdana menteri, itu baru timbalan perdana menteri belum perdana menteri, ramai yang hadiahkan barangan mahal dan berjenama termasuk baju," katanya seperti dipetik Astro Awani.
Kata Nazri lagi, sudah menjadi kelaziman untuk memakai pakaian yang diterima itu sebagai tanda penghargaan.
Dia juga yakin orang ramai tidak peduli berkenaan pemakaian Ismail, berbanding usaha yang dilakukannya untuk mengurangkan beban mereka.

Terdahulu hari ini, Ismail Sabri dikesan memakai kemeja pendek berjenama Burberry bernilai RM6,900.
Bulan lalu, dia dikecam di media sosial kerana memakai baju berharga RM5,500, juga berjenama Burberry, semasa pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Singapura di Tokyo, Jepun.
Dalam pada itu, Nazri berkata dia keliru dengan sikap Fahmi yang menurutnya suka mengkritik barangan orang lain.
Dia juga membangkitkan kritikan Fahmi terhadapny sebelum ini kerana menghantar anaknya belajar di Paris.
"Apa masalah dia? Sebelum ini dia kritik saya hantar anak belajar di Paris, saya tidak guna duit dia, saya tidak guna duit kerajaan, saya guna duit saya sendiri.
"Kenapa dia sibuk sangat hal orang lain? Kenapa tidak masa yang digunakan untuk nilai baju orang lain itu digunakan untuk bersama membantu rakyat?" katanya lagi.

