Malaysia perlukan strategi yang khusus secara mampan bagi menangani jurang pendapatan kumpulan B40 kata pakar ekonomi, Prof Dr Noor Azlan Ghazali.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) itu berkata, istilah B40 perlu muncul dalam pembentangan bajet tahunan, sebagai kumpulan sasaran.
"Bukan Bajet kalau tidak menyebut B40 di bibir semua pemimpin. Pelbagai program bantuan sosial dan inisiatif diperkenalkan khusus untuk B40. Di mana kita sekarang?
"Kita akui dan berterima kasih, banyak program bantuan telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk B40 bagi meringankan beban kehidupan kumpulan berpendapatan rendah ini.
"Bantuan adalah baik tetapi ia tidak menyelesaikan masalah. Seiring dengan bantuan, Malaysia perlukan strategi yang khusus menangani masalah ini secara mampan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Noor Azlan berkata demikian sebagai mengulas titah Yang di-Pertuan Agong bahawa pengurusan negara dalam era pasca pandemik memerlukan suatu rencana yang bitara merangkumi pelbagai sektor dan kehidupan.
Baginda bertitah sedemikian pada sambutan hari keputeraan baru-baru ini.
"Bagi menempuh gelora masa hadapan; kerajaan beta dan semua pihak tanpa mengira fahaman politik; hendaklah berusaha merencana pelan jangka panjang bagi membawa negara kembali ke persada kejayaan," titah baginda.
Dalam pada itu, Noor Azlan berkata kadar peningkatan pendapatan B40 yang jauh lebih rendah berbanding T20.
"Jurang T20-B40 semakin melebar. Tidak salah pendapatan T20 meningkat dengan pantas. Yang bermasalah ialah kenaikan pendapatan B40 terlalu perlahan. Mengapa?
"Pengagihan pendapatan-saiz kek pendapatan B40 seolah tidak berubah. Terkini hanya 16 peratus sampai ke B40, sementara 47 peratus untuk T20. Agak stabil untuk M40, sekitar 37 peratus. Petanda peluang untuk B40 masih terhad. Mengapa?
"Kos sara hidup-dengan peningkatan harga makanan sejak kebelakangan ini, B40 akan lebih tertekan. 37 peratus perbelanjaan mereka adalah untuk makanan. Dihimpun 3 komponen utama perbelanjaan; makanan, rumah, pengangkutan, sekitar 73 peratus.
"Amat merisaukan, semua tiga kategori perbelanjaan ini harganya semakin meningkat. Mengapa?" soalnya.

