malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Penulis ingin cakap benar kepada Agong'
Diterbitkan:  Jun 15, 2022 4:47 PM
Dikemaskini: 8:57 AM
ADS

Malaysia bernasib baik kerana ada Ketua Negara yang lantang bersuara menentang musuh utama negara, iaitu korupsi atau rasuah, kata ahli jawatankuasa mengenai rasuah (JKMR) SPRM, Hassan Abdul Karim.

“Bagi saya, korupsi musuh negara nombor satu dan inflasi musuh negara nombor dua. Jika kedua-duanya, korupsi dan inflasi bergabung serentak seperti sekarang ini di Malaysia, maka 33 juta rakyat di negara ini boleh ‘mati’ dibuatnya.

“Jadi dalam aspek ini, titah Yang di-Pertuan Agong di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, semalam adalah sangat relevan dan penting,” katanya.

Bagaimanapun, ahli parlimen PKR itu kesal dengan kehadiran bekas perdana menteri Najib Razak di istana sebelum ini yang dilihat tidak selaras dengan apa yang telah dititahkan oleh baginda.

“Penulis ingin bercakap benar dan lurus walaupun pahit dan berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan keras hari ini.

Hassan mengulas titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 di Shah Alam, semalam yang menekankan penerapan nilai-nilai jati diri dalam pelajar dan mencela amalan rasuah kerana ia adalah bagai sebuah barah yang boleh menghancurkan sebuah tamadun.

Mengelak daripada terus menyalahkan Yang di-Pertuan Agong sebagai menghormati institusi diraja dan Istana Negara, ahli Parlimen Pasir Gudang itu menjadikan penasihat dan pembantu istana, termasuk peguam negara sebagai sasarannya.

“Pegawai-pegawai istana tersebut yang membawa gelaran hebat-hebat seperti Datuk Bijaya Diraja, Datuk Bentara Diraja dan lain-lain. Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai akses kepada peguam negara yang bertindak sebagai peguam kepada kerajaan.

“Tidak ada sesiapakah yang berani tampil ke depan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya jangan menjemput bekas perdana menteri Najib Razak (seorang pesalah rasuah) ke Istana Negara?” soalnya.

Hassan berkata walaupun dia menghormati hak peribadi seseorang termasuk Yang di-Pertuan Agong untuk menjemput sesiapa juga sebagai tetamu untuk datang ke kediaman mereka, lebih-lebih lagi semasa bulan Ramadan dan Syawal, namun jawatan Seri Paduka adalah payung negara.

“Tugas Yang di-Pertuan Agong bersifat rasmi sepanjang masa kerana baginda adalah ketua kepada badan eksekutif (kerajaan), ketua kepada badan perundangan (Parlimen) dan ketua kepada badan kehakiman.

“Tidak seperti perdana menteri atau speaker parlimen ataupun ketua hakim negara, jawatan Yang di-Pertuan Agong memikul tiga tugas sekaligus oleh seorang diri. Tidak ada prinsip pemisahan kuasa bagi jawatan yang di-Pertuan Agong. Begitulah besar, mulia dan rasminya peranan raja atau sultan yang bergelar Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi penulis menganggap satu kesilapan telah berlaku di pihak Istana Negara apabila Najib Razak diundang untuk santapan diraja bersama Yang di-Pertuan Agong dan peristiwa itu kemudian ditular di media sosial dan dikongsi kepada khalayak ramai, tentu sekali termasuk pelajar-pelajar universiti.

“Dan tentu sahaja ada anak-anak mahasiswa yang menjadi graduan di Istiadat Konvokesyen di UITM Shah Alam, semalam di kala mereka mendengar nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai bahaya rasuah akan teringat peristiwa Najib diundang ke Istana Negara untuk bersantap bersama baginda,” katanya.

Oleh itu Hassan berkata adalah molek jika ucapan baginda tersebut selaras dengan apa yang telah dilakukan oleh baginda.

“Meminjam kata-kata dari bahasa asing, walk the talk,” katanya.

Mengulas lanjut, Hassan, Najib mempunyai kewajipan moral untuk mengingatkan Seri Paduka bahawa dia telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman atas tujuh pertuduhan berhubung dengan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

“Sabitan bersalah dan hukuman ke atas Najib itu telah disahkan oleh tiga orang hakim Mahkamah Rayuan berikutnya, apabila Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menolak rayuan Najib.

“Najib sepatutnya menjadi seorang negarawan dengan berani menyatakan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa prinsip undang-undang yang menyatakan bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan di mahkamah adalah tidak terpakai kepada dirinya.

“Ini adalah kerana Najib telah dibuktikan bersalah di dua buah mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan Malaysia.

“Walaupun Najib telah membuat rayuan lanjut ke Mahkamah Persekutuan tetapi rayuan tidak bermakna sabitan kesahan dan hukuman dilupuskan. Sabitan kesalahan rasuah dan hukuman penjara masih kekal pada Najib hingga sekarang ini,” katanya.

Untuk rekod, Hassan berkata komennya tidak seharusnya ditafsirkan sebagai fitnah atau hasutan sebaliknya dibuat berasakan fakta.

“Tidak ada niat jahat apabila penulis menyatakan ini semua. Sebab penulis boleh mengambil sikap berdiam diri seperti ‘tikus jatuh ke beras’.

“Tetapi itu tentunya bukan hasrat Yang di-Pertuan Agong apabila melantik penulis sebagai seorang ahli jwatankuasa mengenai rasuah (JKMR) SPRM,” katanya.

Najib, yang menurut pengkritiknya mendakwa mengharapkan pengampunan diraja, juga dibicarakan atas tuduhan berkaitan penyelewengan dana 1MDB, yang disifatkan sebagai skandal kewangan terbesar di dunia.

Sebelum ini, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan turut melahirkan rasa kecewa terhadap kehadiran Najib di sebuah majlis di istana.

Dakwanya apa yang berlaku itu sebagai "tidak menghormati mahkamah" kerana terdapat hakim yang hadir bersama sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan yang memalukan.

"Lagipun, mereka itu adalah para hakim Seri Paduka," katanya.