malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Malaysia masih berhutang RM13.3 bilion yang dimeterai Najib’
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Malaysia masih berhutang AS$3 bilion atau RM13.3 bilion hasil usaha sama (JV) antara 1MDB dan Aabar Investments.

Bekas pegawai kementerian kewangan, Siti Zauyah Md Desa, yang pernah berkhidmat di bahagian pengurusan pinjaman kementerian itu, berkata 1MDB tidak pernah melaporkan kepada bahagiannya berhubung usah sama berkenaan. (1MDB dimiliki sepenuhnya oleh MoF Inc).

Semasa perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB yang membabitkan bekas perdana menteri dan menteri kewangan Najib Razak, saksi pendakwaan ke-23 itu mendakwa bahawa firma pelaburan negara tersebut cenderung berurusan secara langsung dengan tertuduh dan bukannya melalui bahagiannya.

Siti Zauyah memaklumkan bahawa Najib menandatangani surat sokongan (LOS) bagi menyokong usaha sama antara 1MDB dan Aabar Investments PJS, yang adalah anak syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC).

“Saya mengesahkan bahawa status pinjaman AS$3 bilion yang dirujuk dalam kenyataan saksi, bahawa 1MDB sebagai peminjam AS$3 bilion, telah gagal membayar balik pinjaman itu mengikut terma yang ditetapkan.

“Perkara ini menyebabkan kerajaan hari ini terpaksa membayar balik hutang 1MDB berdasarkan LOS yang dikeluarkan kerajaan yang ditandatangani oleh menteri kewangan Najib Razak pada 2013.

“Selepas surat sokongan kepada 1MDB dikeluarkan pada 2013, menteri kewangan itu tidak lagi mengeluarkan sebarang jaminan kepada 1MDB,” kata Siti Zaudah hari ini.

Dia memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa sekiranya 1MDB gagal membayar balik hutangnya, bank pemberi pinjaman akan “mengejar” kerajaan Malaysia kerana LOS ditandatangani oleh Najib.

Pinjaman itu didakwa dikumpul melalui terbitan bon 1MDB oleh Bank of New York Mellon Group. Bon tersebut matang tahun depan.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa akibat daripada jejak aliran kewangan yang diselewengkan itu, sejumlah AS$681 juta (RM2,081,476,926 mengikut kadar pertukaran asing ketika itu) masuk ke akaun Najib pada awal 2013.

[Baca berita penuh]

Sementara itu Bernama melaporkan bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa kerajaan masih menanggung hutang US$3 bilion yang dipinjam oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sembilan tahun lepas.

Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, 63, yang ketika itu bertugas di Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan Dan Aktuari (BPKA), berkata pinjaman tersebut diluluskan oleh kerajaan melalui surat sokongan yang ditandatangani Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan pada 2013.

Saksi pendakwaan ke-26 itu juga mengesahkan bahawa pihaknya tidak pernah menerima apa-apa laporan daripada 1MDB ke mana wang tersebut telah dibelanja dan digunakan.

“Saya mengesahkan 1MDB selaku pihak yang membuat pinjaman berjumlah US$3 bilion telah gagal untuk membuat bayaran pinjaman seperti terma ditetapkan.

“Hal ini menyebabkan kerajaan pada masa ini terpaksa menanggung bayaran balik hutang 1MDB ini berdasarkan kepada surat sokongan yang dikeluarkan kerajaan yang ditandatangani oleh Menteri Kewangan (Najib),” katanya.

US$3 bilion adalah wang yang diperoleh daripada bon yang diterbitkan oleh anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Global Investment Ltd untuk usaha sama 50:50 antara 1MDB dan Aabar Investments PJS.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu hutang itu sepatutnya dibayar sepenuhnya pada 2023.

Siti Zauyah juga berkata pihak BPKA bertanggungjawab mendapatkan laporan daripada 1MDB namun mengesahkan sepanjang bertugas di bahagian itu, beliau tidak menerima apa-apa laporan balas daripada pihak pengurusan 1MDB berkaitan penggunaan dana berjumlah US$3 bilion.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB.

“Pihak 1MDB bertanggungjawab untuk mengemukakan laporan pelaburan mereka sepertimana tujuan permohonan surat sokongan itu dikemukakan kepada pihak Kementerian Kewangan.

"Pihak saya ada berhubung dengan wakil 1MDB pada masa itu, Zahid Taib, untuk mereka memberikan maklum balas mengemukakan dokumen atau laporan kepada Kementerian Kewangan namun pada masa itu, pihak 1MDB tidak mengemukakan apa-apa laporan kepada bahagian saya.

“Saya juga sahkan saya sendiri tidak pernah melihat dokumen perjanjian antara 1MDB dengan pihak Aabar seperti yang dimaklumkan dalam permohonan mereka kerana pihak 1MDB tidak melaporkan kepada bahagian saya pada masa itu.

“Antara dokumen yang diminta secara konsisten adalah laporan kewangan beraudit 1MDB yang perlu mereka berikan salinan kepada pihak Kementerian Kewangan namun dokumen itu gagal dikemukakan oleh pihak 1MDB,” katanya.

Siti Zauyah berkata dasar di peringkat kementerian itu menetapkan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang ingin membuat apa-apa perjanjian usaha sama atau pelaburan dengan pihak luar perlu dibentang kepada Bahagian MKD dan Bahagian MKD akan menyediakan kertas untuk mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan sebelum dibentang untuk kelulusan Kabinet.

“Ini adalah dasar dan proses sedia ada. Dalam kes 1MDB, saya sahkan pihak 1MDB tidak mengemukakan laporan untuk mereka membuat perjanjian usaha sama dengan pihak Aabar seperti yang dirujuk dalam keterangan saya hari ini.

“Saya tidak dapat pastikan sama ada 1MDB telah mendapat kelulusan khas daripada Menteri Kewangan tentang perjanjian usaha sama yang hendak mereka jalankan ini,” katanya.

Beliau berkata selepas surat sokongan kepada 1MDB pada 2013, Kementerian Kewangan tidak lagi mengeluarkan apa-apa jaminan kepada syarikat itu.

Berkaitan perjalanan syarikat 1MDB yang diletak di bawah kawalan MKD, Siti Zauyah mengesahkan bahawa tiada mana-mana pegawai Kementerian Kewangan atau Bahagian MKD dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah 1MDB kerana dalam syarikat lain, Menteri Kewangan tidak terlibat secara langsung yang menyaksikan Menteri Kewangan telah melantik diri sendiri sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

“Saya sahkan dalam syarikat MKD yang lain hal seperti ini tidak berlaku,” katanya sambil menambah pihak 1MDB sering berkomunikasi terus dengan Najib jika kurang bersetuju dengan permintaan atau pendapat BPKA dalam hal berkaitan surat sokongan US$3 bilion itu.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Lihat Komen