malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nazir sokong kembalikan GST ‘dengan cara yang betul’
ADS

Pelaksanaan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dapat memajukan Malaysia jika dibuat secara betul, kata tokoh perbankan Nazir Abdul Razak.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 membuat silap dengan memansuhkan terus GST dan bukan “melaksanakannya dengan betul:.

“Mereka patut kurangkan GST dan beri lebih banyak pelepasan pada kumpulan berpendapatan rendah,” katanya sambil menyifatkan GST diperlukan untuk jangka masa panjang.

Adik bekas perdana menteri Najib Razak itu berkata demikian dalam majlis pelancaran bukunya Di Sebalik Nama dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di ibu kota hari ini.

Nazir menjawab soalan daripada hadirin berhubung kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, bahawa kerajaan bercadang untuk memperkenalkan semula GST.

Sistem percukaian itu diperkenalkan pada 2015 semasa pentadbiran Najib Razak dengan kadar enam peratus namun dimansuhkan sebaik sahaja PH mengambil alih kerajaan persekutuan tiga tahun kemudian.

Dalam ucapannya, Nazir berkata Putrajaya harus melihat semula bagaimana cukai itu dikenakan kepada rakyat, di mana rakyat sedang berdepan dengan kenaikan harga barang ketika ini dan menderita akibat pandemik Covid-19.

Dia juga mencadangkan agar kerajaan mengenakan cukai yang lebih kepada golongan kaya, termasuk mengenakan ‘cukai durian runtuh’ (windfall tax).

"Banyak negara sedar tentang perkara ini, (di mana) jika mereka tidak meningkatkan pendapatan mereka, cukai mereka, maka kita tidak akan dapat bantu golongan miskin,” katanya.

PRU tak semestinya beri kesan kepada ekonomi

Sementara itu, ketika sidang media, Nazir ditanya sama ada keadaan ekonomi negara akan bertambah buruk sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, mengadakan pilihan raya akan mengganggu keadaan ekonomi negara, tetapi ia tidak semestinya menjejaskannya.

“Saya rasa banyak perkara menentukan tarikh pilihan raya dan kita serahkannya kepada perdana menteri dan lain-lain untuk membuat keputusan.

“Kesan kepada ekonomi? Hari ini kita ada banyak cabaran, tapi kita tahu bahawa pada satu hari nanti kita perlu mengadakan pilihan raya juga.

“Saya tidak fikir ia (pilihan raya) semestinya menjejaskan ekonomi. Saya fikir ia adalah gangguan yang besar, tetapi kita perlu lakukannya juga,” katanya.

Awal minggu ini, Ismail Sabri dalam satu temubual berkata bahawa dia akan menunggu masa yang sesuai untuk membuat pilihan raya, sambil menyentuh kebimbangannya terhadap ekonomi.

Dia berkata demikian kepada akhbar kewangan Nikkei, bahawa negara sedang menghadapi inflasi dan kenaikan harga barang pada masa ini.

Lihat Komen