Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menafikan laporan berita yang mendakwa terdapat kekurangan bekalan perubatan di negara ini.
Sebaliknya, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A Halim dalam satu kenyataan media hari ini, berkata terdapat peningkatan permintaan mendadak bagi beberapa jenis ubat-ubatan seperti produk dengan bahan aktif paracetamol, vitamin C serta ubat batuk dan selsema untuk kegunaan kanak-kanak.
“Pada masa ini, tiada produk yang mengalami gangguan bekalan secara menyeluruh kerana kebanyakan produk mempunyai alternatif dari pelbagai jenama lain yang mempunyai indikasi yang sama.
“Pihak pengilang juga telah meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang tinggi,” katanya.
Dr Norhaliza berkata KKM membuat kesimpulan itu setelah mengadakan perjumpaan, semalam dan mendapatkan maklum balas daripda pihak industri farmaseutikal, iaitu Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA) dan Malaysia Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS).
Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pembelian panik berikutan dakwaan kekurangan bekalan ubatan.
Portal perubatan CodeBlue melaporkan sekatan tegar pergerakan selama dua bulan di Shanghai, China dan perang Rusia di Ukraine telah mencetuskan kekurangan besar-beasran pelbagai ubat di Malaysia.
Susulan peperangan di Eropah itu meyebabkan kenaikkan harga minyak dan beberapa laluan perkapalan tersekat yang memberi kesan kepada kos penghantaran ubat.
Ini termasuk sirap untuk kanak-kanak dan rawatan untuk keadaan kronik, kata pembekal farmaseutikal, doktor, dan ahli farmasi.

