malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isteri lari bersama anak ke NZ, bapa tuntut k’jaan bayar RM25 juta
ADS

Seorang bapa mengheret bekas isterinya ke mahkamah atas dakwaan melarikan dua anak mereka ke New Zealand empat tahun lalu.

Mohd Saleem Mohamad Aslam, dan kakaknya Kalsum, dalam saman sivil mereka, juga memohon supaya kerajaan Malaysia membayar pampasan RM25 juta berhubung insiden yang dikatakan berlaku pada 2018 itu.

Saleem, 34, dan Kalsum, 38, memfailkan writ saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mei lalu terhadap bekas isterinya Faith Kimberly Hepburn @ Ashalina Hepburn Abdullah dan enam yang lain.

Enam defendan yang lain itu ialah ketua pengarah imigresen, pengarah imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), seorang pegawai imigresen, seorang peguam dan kerajaan Malaysia.

Menurut kertas mahkamah yang dilihat oleh Malaysiakini, pegawai imigresen dan peguam itu didakwa bersubahat dengan Hepburn berhubung kejadian berkenaan.

Pada 23 Julai 2018, semasa sidang media di pejabat Adun Bukit Gasing, Saleem merayu agar Hepburn memulangkan anak lelaki dan perempuan mereka, yang kini berusia 10 dan lapan tahun.

Dia memberitahu media ketika itu bahawa dia tidak tahu di mana kedua-dua anaknya berada , setelah mendakwa mereka dibawa lari oleh bekas isterinya dari sebuah tadika di Petaling Jaya pada 8 Mac tahun itu.

Saleem ketika itu juga menuntut polis dan Jabatan Imigresen mendedahkan status dan lokasi kedua-dua anaknya. Kalsum hadir semasa taklimat media berkenaan.

Bagaimanapun, menurut kertas kausa saman itu, Saleem dan Kalsum kemudian berjaya membawa balik kanak-kanak itu dari New Zealand pada Disember 2019.

Menurut salinan writ saman, Saleem dan Kalsum meminta ketua pengarah imigresen, pengarah imigresen KLIA, pegawai imigresen dan kerajaan Malaysia membayar RM25 juta sebagai ganti rugi am atas dakwaan mengabaikan tanggungjawab mereka,

Kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi khas sebanyak NZ$146,964.60 dan RM404,265.39 daripada semua tujuh defendan atas kecuaian atau konspirasi yang membolehkan kedua-dua kanak-kanak itu meninggalkan Malaysia.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, Saleem dan Hepburn dikatakan berkahwin pada 27 Jun 2012, tetapi perkahwinan itu dibubarkan secara rasmi pada Oktober 2016.

Plaintif mendakwa bahawa Mahkamah Syariah pada Julai 2017 menarik balik perintah jagaan sementara ke atas kanak-kanak itu daripada Hepburn, berikutan dia didakwa hilang secara tiba-tiba tanpa sebarang berita termasuk kepada peguamnya.

Saleem mendakwa pada 12.30 tengah hari pada 8 Mac 2018, Kalsum dimaklumkan oleh pihak tadika bahawa Hepburn datang ke sekolah lebih awal, kira-kira jam 9 pagi, untuk mengambil anak-anak mereka itu dengan alasan ada temu janji pergigian untuk mereka.

Dia mendakwa Kalsum dimaklumkan oleh tadika itu bahawa Hepburn memberitahu sekolah bahawa dia akan membawa anak-anaknya pulang dalam masa sejam.

Selepas dimaklumkan oleh Kalsum mengenai perkara ini, Saleem membuat laporan polis. Adik beradik itu kemudiannya membuat laporan kepada jabatan imigresen kerana bimbang kanak-kanak itu akan dibawa ke luar negara.

Saleem kemudiannya juga memfailkan permohonan di Mahkamah Syariah untuk hak penjagaan kekal anak-anak itu.

Dia mendakwa pada 9 April 2018, pihak imigresen memberitahu mereka bahawa Hepburn dan dua anaknya itu masih berada di Malaysia.

Bagaimanapun, Saleem berkata pada 22 Jun tahun yang sama, polis memberitahu Kalsum melalui surat bahawa Hepburn dan anak mereka itu telah meninggalkan negara beberapa bulan sebelum itu pada 8 Mac.

Beliau berkata pada 22 Nov tahun itu, Interpol Malaysia memberitahu mereka bahawa bekas isteri dan dua anaknya telah terbang ke New Zealand lebih awal pada 10 Mac.

Saleem mendakwa bahawa kemudian pada 15 Mei 2019, dia dan Kalsum pergi ke New Zealand untuk membawa balik dua kanak-kanak itu.

Saleem mendakwa kanak-kanak itu ditinggalkan dalam jagaan keluarga bukan Islam di lokasi terpencil di New Zealand, manakala Hepburn dan kekasihnya yang didakwa dari Kazakhstan kononnya sebelum ini telah pulang ke tanah airnya (Kazakhstan).

Dia berkata bahawa bekas isterinya dan kekasih barunya sudah pun bersama semasa di Malaysia sejak 2017, dan pasangan itu meninggalkan Malaysia bersama dua anaknya ke New Zealand.

Dia mendakwa selepas proses berlarutan selama 10 bulan, Mahkamah Keluarga New Zealand di New Plymouth kemudiannya menyerahkan hak penjagaan kedua-dua anak kepadanya dan Kalsum. Mereka kemudiannya pulang ke Malaysia.

“Disebabkan terdapat ketirisan dan pecah amanah pihak terbabit, plaintif sejak awal lagi berdepan dengan pelbagai kesukaran untuk mengesan lokasi dan destinasi sebenar kanak-kanak itu,” katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini, wakil daripada firma guaman Haziq A Subhi & Co - yang mewakili plaintif - berkata saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 22 Jun.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen