malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
NGO alam sekitar gesa lombong nadir bumi dihentikan
Diterbitkan:  May 24, 2022 9:48 PM
Dikemaskini: 1:48 PM
ADS

Susulan perlombongan lantanida yang mendapat kebenaran beroperasi di Hutan Simpan Kenderong di Hulu Perak, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengulangi gesaannya supaya projek itu dihentikan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pesiden SAM, Meenakshi Raman menggesa kerajaan negeri supaya tidak meneruskan aktiviti perlombongan itu, atas alasan akan menjejaskan kawasan perumahan di negeri itu.

Dia berkata demikian merujuk kepada kemudahan sisa kekal radioaktif di Banjaran Kledang, Ipoh yang didakwa mengandungi torium dan uranium tahap tinggi daripada loji Asian Rare-Earth (Are) yang sebelum ini beroperasi di Bukit Merah.

“Sisa ini akan kekal sebagai radioaktif selama berbilion-bilion tahun dan sudah pun menimbulkan risiko tinggi kepada rakyat Perak.

“Amat mengejutkan apabila kerajaan negeri Perak dan JAS tidak mengambil iktibar tragedi loji ARE yang mengakibatkan keracunan radioaktif yang serius dalam masyarakat Bukit Merah, dengan insiden kematian yang tinggi di kalangan kanak-kanak yang menghidap leukemia dan kanser, paras plumbum yang tinggi dalam darah kanak-kanakdan kadar keguguran luar biasa dalam kalangan wanita hamil,” katanya.

Katanya, penggunaan perkataan "mampan" pada projek perlombongan nadir bumi itu tidak menjadikannya selamat, terutamanya apabila ia melibatkan sisa torium dan uranium.

Difahamkan, EIA untuk projek itu diluluskan pada 11 Mei walaupun penilaian impak alam sekitar (EIA) oleh JAS menyatakan bahawa laporan EIA projek itu "tidak diluluskan".

Semalam, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad mengumumkan JAS meluluskan EIA untuk perlombongan nadir bumi itu minggu lepas, yang akan menjadi sumber pendapatan tambahan kepada negeri itu.

Perkara itu disahkan hari ini oleh Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar yang berkata ia mungkin disebabkan oleh kesilapan teknikal.

Saarani berkata "projek perintis" itu akan dilaksanakan di atas tanah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) dan syarikat yang dilantik akan ditugaskan untuk menyelidik sama ada terdapat radioaktiviti berbahaya disebabkan oleh perlombongan berkenaan.

Projek berkenaan meliputi 11 bidang tanah seluas 5,339 ekar milik Perbadananan Menteri Besar Perak (MB Inc Perak), Majlis Daerah Gerik, Felcra Bhd, dan SADC yang bersamaan dengan keluasan kira-kira 3,026 padang bola sepak.

[Baca berita asal]

Lihat Komen