malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Keputusan pemilihan PKR 29 Mei
Diterbitkan:  May 24, 2022 8:56 PM
Dikemaskini: 12:58 PM
ADS

Keputusan pemilihan PKR peringkat kebangsaan dan cabang akan diumumkan pada 29 Mei ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa.

Dr Zaliha berkata tarikh keputusan itu sebelum ini ditangguhkan berikutan pemilihan semula di beberapa cabang masih perlu diadakan.

"Selaras dengan Pekeliling JPP Bil 01/2022 bertarikh 4hb Mac 2022, tarikh keputusan pemilihan peringkat, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Cabang telah dipinda berikutan pemilihan semula di beberapa cabang melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor.

"Maka tarikh keputusan pemilihan peringkat MPP dan Cabang akan dipaparkan di laman sesawang www.pemilihankeadilan2022.com bermula pada 29hb Mei 2022," katanya dalam satu pekeliling yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan Dr Zaliha itu sekali gus menamatkan teka-teki berhubung tarikh keputusan pemilihan PKR yang berakhir pada 22 Mei lalu.

Semalam Dr Zaliha mengumumkan bahawa pengundian semula bagi lapan cabang secara fizikal di empat negeri akan dilaksanakan sebelum akhir bulan ini dan keputusan tidak rasmi hanya akan diketahui selepas proses pengundian.

Lapan cabang tersebut melibatkan cabang Gua Musang, Pengkalan Chepa, Bachok, Ketereh dan Tumpat di Kelantan, Dungun (Terengganu), Hulu Selangor (Selangor) dan Padang Serai (Kedah).

Sementara itu dalam satu pekeliling lain, Dr Zaliha berkata proses pencalonan kini terbuka untuk calon-calon bagi jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP).

Katanya, tarikh pencalonan itu juga ditetapkan pada 29 Mei ini.

"Mana-mana anggota yang layak untuk menawarkan diri masing-masing sebagai calon, bolehlah mendaftarkan diri masing-masing pada tarikh tersebut melalui secara atas talian melalui aplikasi Adil di tempat masing-masing," katanya.

Menurutnya, anggota parti itu juga boleh hadir secara fizikal di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Lihat Komen