malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Gelombang nak jatuhkan PAS Kelantan bukan perkara baru'
ADS

Pemuda PAS Kelantan menyifatkan usaha parti-parti lawan yang cuba mewujudkan 'gelombang' untuk menjatuhkan kerajaan negeri bukan perkara baru.

Malah katanya ia bukan saja membabitkan PAS malah mana-mana parti yang menjadi kerajaan.

Ketuanya Mohd Kamal Mohamad, berkata ini kerana senario politik Kelantan sejak 1990 sudah melalui gelombang turun dan naik lebih-lebih lagi apabila menghampiri tempoh pilihan raya umum (PRU).

"Senario ini adalah normal bagi kerajaan yang memerintah sesebuah negeri kerana akan pasti ada pembangkang yang akan sentiasa mencuba untuk sabotaj kerajaan.

"Cubaan mewujudkan gelombang atau wujudnya serangan terancang yang diusahakan oleh pihak berkepentingan untuk menjatuhkan kerajaan adalah bukan perkara baru kerana kebanyakannya telah dijawab kerajaan negeri," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pihak pembangkang yang mendakwa wujudnya gelombang yang dilihat ke arah menjatuhkan kerajaan Kelantan yang ditadbir PAS sejak lebih 30 tahun lalu.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Ketua Pemuda Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor berkata andaian kewujud gelombangan itu dibuat kerana dia melihat rakyat di negeri tersebut mula muak dengan pelbagai masalah dihadapi tanpa ada penyelesaian tuntas daripada kerajaan negeri.

Bagi Ketua Pemuda Amanah Kelantan Hazmi Hassan pula berpendapat gelombang rakyat yang mahu menukar peneraju kerajaan negeri dilihat semakin menyerlah.

Mohd Kamal berkata, kebiasaannya pembangkang akan menyusun serangan secara berperingkat dalam tempoh berdekatan PRU dengan isu-isu melibatkan projek-projek kerajaan.

Justeru katanya, menjelang PRU ke-15 Pemuda PAS Kelantan akan bersama-sama pasukan petugas khas (task force) yang diwujudkan mereka untuk menyantuni pengundi muda seawal usia 18 tahun.

Lihat Komen